ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, August 31, 2016

PANTUN BERKAIT HARI MERDEKA 2016 : SIMBOLISME JALUR GEMILANG



                                                               
                                                     (Pemenang Ke #2)

Assalamualaikum dan Salam Kemerdekaan buat semua...

Syukur dengan nikmat dan rezeki yang diberikan. Tanpa duga, sekadar niat untuk memeriahkan penyertaan dalam pertandingan ini, saya cuba menulis pantun berkait secara spontan pada saat-saat akhir peraduan ini berlangsung. Hasrat hati ingin sekali menulis syair dan jua soneta sempena dengan tema ini, namun kesuntukan waktu mengetahui pertandingan ini diadakan, maka saya hanya sempat menulis tiga rangkap pantun secara spontan sahaja. Itu pun setelah dijemput oleh rakan saya untuk sama-sama menyertai pertandingan ini.

Amat terkejut apabila melihat ucapan "Tahniah" dari pihak DBPNiaga dan juga rakan-rakan yang memaklumkan hal ini. Syukur teramat syukur kerana percubaan yang sekadar suka-suka seringkali membuahkan hasil yang cukup manis untuk saya kecapi. Walaupun cuma kejayaan kecil dan hanya memenangi hadiah tempat "Kedua" tetapi ia amat bermakna apabila karya kecil saya sudi dinilai dan diteliti oleh panel juri DBP yang memilih para pemenang. Semua ini menjadi suntikan semangat agar saya terus berkarya dengan luhur dan jujur, kerana kejayaan akan sentiasa ada untuk sesiapa yang mahu berusaha dan mencuba. Terima kasih sekalung budi DBP dan jua kesemua rakan-rakan yang berjaya.

Kepada adik-adik yang gemar menulis, nasihat akak jangan takut untuk mencuba. Belajarlah dengan rendah hati untuk melengkapkan diri. Mencuba juga biar ada ilmu di dada bukan mencuba hanya dengan semberono sahaja ya. Mencapai kejayaan semua orang mampu, tetapi  untuk mengekalkannya tidak semua dapat bertahan, jadi... apabila kita berjaya lakukanlah sujud syukur dan kawal diri jangan terlampau bangga dan megah dengan apa yang kita capai. Jauhi sifat riak dan memandang rendah kepada rakan-rakan yang tidak berjaya, ini kerana kejayaan kita akan selalu terhalang bila hati terselit ujub dan sebagainya. Berwaspadalah dengan segala pujian kerana tidak semua pujian itu ikhlas diberikan kepada kita. Jadilah diri kita yang tetap sederhana kerana di situlah Allah melihat siapa diri kita dan dipilih untuk menerima rezeki dari-Nya tanpa hijab. Insya-Allah!

Selamat Maju Jaya buat semua dan kekalkan momentum kejayaan anda jua!

Hormat selalu dan Salam Kemerdekaan yang ke #59.

- CT Nurza-
31 Ogos 2016
18:21ptg.

Saturday, August 27, 2016

INTERPRETASI MERDEKA BAGIKU




Assalamualaikum dan selamat malam semua...

Kini Ogos bertamu lagi. Kehadirannya membawa seribu makna dan pengertian kepada kita. Terpulanglah kepada diri dan pemikiran masing-masing untuk memberikan pelbagai tafsiran tentang perkataan "Merdeka" kerana interpretasinya sangat meluas jika kita mampu berfikir lebih jauh. Tunggulah penerbitan Antologi Puisi terbaharu saya bersempena dengan tajuk ini tidak lama lagi. Insya-Allah!

 -CT Nurza-
27 Ogos 2016

*Kredit Foto : Instagram RTM & Instagram Coby_Cat.

Friday, August 26, 2016

NOTA UNTUK AYAH (ANTOLOGI PUISI & CERPEN)



Assalamualaikum dan sejahtera semua...

Salam jumaat yang barakah. Semoga perjalanan hidup hari ini dihiasi bunga-bunga iman dan taqwa. Apa yang kita buat dan rancang, biarlah perancangan itu berlandaskan niat yang betul dan tidak tersasar dari tujuannya.

Syukur sejuta syukur untuk hari ini. Dengan izin restunya, dapat sudah saya menyambut, menatap dan menyentuh Antologi Bersama terbaharu saya yang telah pun dicetak dan diterbitkan. Ini merupakan Antologi Bersama yang ke #12 berada di tangan. Alhamdulillah! 2016 menjadikan saya insan yang cekal berkarya dalam pelbagai situasi yang menghimpit dan menduga dengan kepelbagaian rintangannya. Apa pun, disebabkan, niat memainkan peranan utama dalam setiap gerak langkah,  saya yakin DIA telah mempermudahkan segala laluan saya dengan jaya dan sempurna.  Allah Hu Rabbi!

Justeru, untuk menghargai bakti dan budi insan-insan yang menjadi kekuatan langkah saya, maka Antologi yang cukup bermakna ini telah menzahirkan rasa hati dari batin nurani saya yang tulus ikhlas. Semoga akan memberi semangat dan inspirasi kepada yang sudi membaca untuk mengambil sedikit motivasi darinya.

Terima kasih untuk semua yang sentiasa ada memberikan sokongan, semangat dan doa berterusan untuk saya dari dahulu sehingga kini. Hormat dan santun selalu dari saya.

-CT Nurza-
 26 Ogos 2016

Saturday, August 20, 2016

CERPEN : APABILA TAKDIR TERTULIS (C2N RAJAQNA)




- CT Nurza -
20 Ogos 2016
11:18 pm

BENGKEL PENULISAN KARYA SASTERA 2016





Assalamualaikum wbkth...

Salam selamat malam semua. Semoga tenang bahagia di sisi keluarga tercinta. Iklan ini sekadar untuk memaklumkan kepada semua pembaca setia blog NKN, jika ada antara sesiapa yang berminat untuk mencari dan menambah ilmu dalam bidang penulisan, sila-silalah hadirkan diri mengikuti bengkel-bengkel ini pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.

Anda juga boleh berhubung secara terus dengan pihak penganjur melalui nombor yang tertera.

Sekian, Terima kasih.

Thursday, August 18, 2016

HADIAH SAYEMBARA JUARA HAIKU KE #5 2016



Assalamualaikum...

Salam bahagia salam ceria kepada semua pengunjung-pengunjung setia yang sudi memeriahkan laman blog NKN. Salam Kemerdekaan buat semua rakan-rakan di Singapore dan juga Indonesia. Bingkisan yang sungguh istimewa ini, juga datang dari jauh iaitu kiriman seorang sahabat yang telah sudi menyumbangkan hadiah kepada pemenang sayembara puisi haiku yang diadakan baru-baru ini.

Terima kasih untuk Puan Khaziah Yem yang sudi menaja hadiah ini dari Singapore. Alhamdulillah, tidak disangka hadiah tajaan beliau ini menjadi milik saya. Sungguh bersyukur dengan kehadiaran bingkisan ini, kerana buku ini cukup istimewa pada pandangan saya. Buku ini memuatkan sejumlah pantun-pantun yang ditulis khas oleh para penyair dari 5 buah negara dan telah disusun oleh seorang Penyair, Novelis dan Cerpenis terkenal Singapore iaitu Bunda Anie Din a.k.a Rohani Din.

"Senandung Tanah Merah" merupakan buku "Kumpulan Pantun" hasil karya 105 orang penulis dari 5 buah negara. Buku ini diterbitkan dengan hard cover yang cukup cantik, kemas dan teliti susunan dan cetakannya. Teruja apabila saya membacanya. Insya-Allah! akan dihargai pemberian ini sebaik mungkin.

Sebelum mengundur diri, salam hormat dan salam manis dari saya untuk semua.


Sunday, August 14, 2016

ANTOLOGI PUISI "NOTA UNTUK AYAH" 2016


Assalamualaikum dan salam bahagia semua...

Apa khabar tetamu-tetamu dan rakan pengunjung blog NKN? Mohon maaf, lantaran agak lama tidak sempat mengemas kini blog kesayangan saya ini, kerana rutin hidup yang semenjak dua menjak ini begitu padat pengisiannya. Walau bagaimanapun banyak program-program dan acara penting untuk majlis pelancaran buku tidak dapat saya sertai disebabkan kekangan tugas dan masalah kesihatan. Apa pun syukur kepada-Nya kerana masih lagi memberi saya nafas untuk meninggalkan sedikit bakti dalam dunia penulisan yang saya cintai ini dengan penghasilan buku-buku Antologi Bersama yang terbaharu dan masih menunggu proses penerbitannya.

Foto di atas merupakan buku antologi bersama saya yang ke #12 bakal terbit pada minggu hadapan sementara yang lain lebih daripada 30 buah lagi sedang menanti giliran untuk dicetak dan diterbitkan, Insya-Allah! doakan agar kesemuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Doa anda semua memangkin kejayaan buat saya selama ini. Terima kasih kepada semua yang tulus mendoakan saya di sini... semoga Allah SWT memberi kebaikan jua kepada rakan-rakan pengunjung yang sudi meninggalkan komentar tanpa nama dan sentiasa mendoakan saya. Syukur, Alhamdulillah!

Jadi, kepada semua... terima kasih sekalung budi. Salam hormat dan salam bahagia daripada saya di sini. Senyum selalu... :)

-CT Nurza-
14 Ogos 2015
23:15pm.

Sunday, August 7, 2016

HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2015/2016


Assalamualaikum dan selamat pagi semua...


Selamat berhari minggu dan selamat beristirahat. Semoga hari ini memberi seribu kedamaian buat semua pengunjung laman blog NKN.

Mohon maaf, lantaran kebelakangan ini begitu sibuk dengan pelbagai urusan duniawi, namun tidak pula sampai melupakan tanggungjawab dan hal-hal ukhrawi juga. Walau apa pun diharapkan semoga setiap apa yang kita lakukan sentiasa mendapat reda dan restu dari Ilahi. Insya-Allah! amin...

Memandangkan sudah lama tidak menjengah ke sini dan ada sedikit perkongsian untuk dimaklumkan, jadi pagi ini dengan sukacitanya saya ingin kongsikan berita menarik ini kepada  semua pencinta sastera tanahair.

Ayuh! kepada sesiapa sahaja yang mempunyai buku sendiri atau sekadar antologi bersama seperti saya, jangan lupa dapatkan borang penyertaan dari DBP dan sertailah HSPM ini mengikut kategori dan kelayakan masing-masing... hehehe... bagi saya, untuk sekadar mencuba, saya hanya layak menyertai kategori karya eceran untuk antologi puisi dan cerpen sahaja. Namun, untuk cerpen... saya terpaksalah menunggu buku terbaharu saya diterbitkan dahulu. Kini semuanya dalam proses penerbitan. Insya-Allah!

Tidak salah kita mencuba. Sesekali masuk gelanggang dan bersaing secara sihat apa salahnya. Menang atau tidak itu bukan soal utama yang menjadi halangan. Sertai sahaja untuk memeriahkan penyertaan dan soal rezeki terpulanglah kepada siapa yang Allah pilih kelak kerana DIA adalah juri segala juri yang menentukan. Rilaks brader rilaks! bak kata sebuah lagu tu...

Maka, kepada rakan-rakan yang ingin turut serta mencuba, jangan segan-segan, jangan malu-malu ya. Silakan... kerana ruang dan peluang sedang dibukakan kepada semua. Tuah ayam nampak di kaki, Tuah kita tak siapa tahu... tak gituuuu????

Jadi, selamat mencuba kepada semua!

Tuesday, August 2, 2016

PUISI HAIKU SEMPENA BULAN MERDEKA


Assalamualaikum...

Sempena bulan kemerdekaan ini, jom sama-sama tingkatkan semangat juang kita tak kira dalam apa bidang sekalipun. Dalam penulisan haiku ini, kita perlu benar-benar mengikut disiplin penulisan dan penciptaannya baharu kita boleh berjaya. Mencipta sebuah haiku tidak semudahnya kerana kita perlu ikut pola yang ditetapkan, kigo tidak boleh bertindih, imej harus kukuh, kireji perlu tepat dan yo-in haruslah kreatif dan tidak klise. Di sini saya dan rakan-rakan banyak memanfaatkan pembelajaran penulisan haiku ini dalam kehidupan sehari-hari. Kita perlu berdisiplin dan fokus dengan apa yang kita lakukan sekiranya kita ingin berjaya.

Alhamdulillah! sepanjang siri Sayembara yang lepas, sebuah haiku saya berjaya memperolehi penarafan lima bintang sebagai juara dan haiku untuk sayembara terakhir hanya dua haiku sahaja yang memperolehi penarafan empat bintang. Haiku yang selainnya hanya mampu mengutip tiga bintang. Apa pun saya tetap bersyukur di atas kejayaan tersebut dan akan terus belajar dengan gigih dan tekun untuk menguasai puisi haiku.


Sebenarnya tidak kira genre apa pun yang kita ceburi, kita perlu berani mencuba sesuatu yang baharu agar minda kita sentiasa luas berfikir dan gunakan kreativiti kita untuk mengolah puisi-puisi sedemikan menjadi puisi islamik, patriotik dan memberi inspirasi kepada yang membaca. Kita yang menulis maka kita yang harus berfikir apa yang mahu kita sampaikan kepada khalayak sama ada karya itu beretika atau sebaliknya. Yang penting tulislah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada pembaca bukan tulisan-tulisan yang tidak berfaedah dan porno... jauhkan diri dari menghasilkan karya-karya yang bercanggah dengan nilai dan moral agama kita.

Salam kejayaan buat semua! salam sayang selalu... :)