ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, September 10, 2016

DUGAAN MEMBUKA RUANG KEJAYAAN



Assalamualaikum...

Salam ceria dan selamat pagi semua. Tiada kata seindah bahasa bagi seorang penulis kecil dan tidak ternama seperti saya, apabila manuskrip pertama yang ditulis bersama dua orang rakan diterima dan diluluskan penerbitannya oleh DBP ( Dewan Bahasa & Pustaka). Sebenarnya, bukanlah mudah untuk melepasi ketiga-tiga penilaian ketat panel penilai. Saringan demi saringan dilakukan, rombakan terhadap manuskrip rakan-rakan yang tidak diterima juga terpaksa diubah dan dibuat mengikut segala arahan yang diberi, namun berkat persefahaman dan kerjasama, kami usahakan yang terbaik dan saling membantu untuk menyempurnakan manuskrip yang dihantar agar berjaya melepasi kesemua penilaian panel penilai. Syukur, Alhamdulillah! Hasil kerja berjemaah, akhirnya kejayaan bersama kami.

Insya-Allah! Jika segala urusan berjalan lancar, pertengahan tahun hadapan, akan terbitlah sebuah buku Antologi Syair Kanak-Kanak yang kami hasilkan, gabungan tiga orang penulis. Sebenarnya, pada peringkat awal saya tidak terlibat secara langsung dengan projek ini kerana, saya hanya diminta oleh dua rakan untuk menunjuk ajar mereka sahaja tatacara menulis syair dan meneliti karya-karya mereka. Namun demikian, entah bagaimana tiba-tiba mereka berdua mempelawa saya untuk turut serta bagi memudahkan proses penulisan syair yang dikehendaki untuk sebuah buku. Maka beragihlah kami bertiga mengerah otak untuk menulis syair sebanyak 15 buah seorang. Segala apa yang terlihat di sekeliling habis menjadi idea syair masing-masing.

 Alhamdulillah! Setelah lulus kesemua syair kami dinilai, untuk mencukupkan lagi bilangan syair yang diperlukan, pihak DBP telah meminta kami untuk menambah lagi beberapa buah syair di bawah tajuk-tajuk yang ditentukan. Maka, berusahalah kami memerah otak lagi sekali menyiapkannya. Syukur teramat syukur, dari proses ini banyak ilmu dan pengalaman berharga telah saya timba. Ini secara tidak langsung, menyuntik kembali semangat saya untuk berkarya dalam genre buku kanak-kanak yang saya jadikan satu cabaran untuk diri selama ini. Menghasilkan karya untuk kanak-kanak bukan perkara mudah bagi saya kerana saya tiada pengalaman menjadi seorang ibu dan mengetahui apa yang kanak-kanak suka. Tetapi disebabkan saya rapat dengan anak-anak saudara dan anak jiran, jadi saya cuba menjiwai watak mereka, kecenderungan mereka dan sebagainya. Saya jadikan tumbuh-tumbuhan dan sebagainya simbolik karya syair saya.

Semoga dengan perkongsian yang tidak seberapa ini, sedikit sebanyak saya dapat mencetuskan idea kepada semua pengunjung setia blog saya ini untuk mencuba jika ada minat menulis.Tulislah dalam apa genre sekalipun, asalkan penulisan kita dapat dimanfaatkan sebaiknya dan menjadi saluran pahala untuk kita di sana nanti. Tulisan yang baik, akan memberi kebaikan, demikian pula sebaliknya. Jadi, pastikan niat kita menulis tidak tersasar kerana niat menentukan di mana tahap kita akan berada. Lantaran itu saya amat menitik beratkan niat saya untuk menjadi seorang penulis biarpun tidak dikenali di mata dunia. Justeru itu, saya selesa menggunakan nama pena supaya saya tidak menyerlahkan siapa diri saya sebenar sebelum ini walaupun ada yang menganggap saya penulis baharu. Itu semua tidak menjadi masalah bagi saya kerana bukti awal saya menulis masih tersimpan segalanya. Tak perlu gah menonjolkan diri macam artis tip top tetapi cukuplah saya ingin karya saya dapat meninggalkan kesan di hati yang membaca. Aamiin.

Akhir kata, salam kejayaan buat semua rakan-rakan dan pengunjung setia blog NKN. Sucikan hati, bersihkan jiwa. Jangan iri jangan dengki, Insya-Allah! Kejayaan sentiasa merapati diri. Itu sahaja nak tulis.... byeeee!


- CT Nurza
10 Ogos 2016
10:20 pg.

No comments: