ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, December 31, 2016

PUISI SONIAN : PROJEK ANTOLOGI SONIAN MALAYSIA (II) 2016



 




-CT Nurza
31 Dis 2016
2:28pg.

Friday, December 30, 2016

PANTUN ; ISTERI BARU





KEPUTUSAN BERBALAS PANTUN #13 : Pemenang-pemenang merit penilaian 4 bintang untuk Projek Buku Berbalas Pantun 2016 terbitan SPBTA. TAHNIAH! rakan-rakan semua yang berjaya...😁😁😁

-CT Nurza
28 Dis 2016
05:16 pm

Wednesday, December 28, 2016

FIKIR SEBELUM TULIS #1


 Kata-kata yang cantik, lahir dari pemikiran yang jernih, bernas dan matang.
Timbang sebelum tulis, lebih baik daripada tulis sebelum fikir. Usah jadikan tulisan kita sebagai penyesalan setelah dikuburkan. Selamat merehatkan minda."


-CTNurza
28Dis 2016
04:34am

PUISI HAIKU MELAYU BEBAS : BONSAI


*Kredit Foto Bonsai : Sumber G+ yang telah saya created dan guna untuk letak teks. Terima kasih.

-CT Nurza
28 Dis 2016
04:14am

Tuesday, December 27, 2016

SAJAK : SEJAMBAK BUNGA PUTIH


Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Lama sudah tidak menulis dan meletakkan puisi-puisi di sini, hari ini... tergerak rasa hati nak kongsikan karya terbaharu saya yang ditulis sekadar suka-suka untuk dimuatkan di laman blog ini sebagai tatapan semua. 

Sebenarnya, saya amat jarang menulis puisi-puisi begini kerana saya lebih kepada karya-karya yang bertema dan berjiwa patriotik. Bagi saya, puisi-puisi yang bertema ini lebih memberi manfaat dan pengertian untuk dihayati, apatah lagi menyuntik semangat kepada generasi muda untuk memupuk rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara.

Lain orang lain pemikiran. Lain matlamat atau tujuan masing-masing untuk menulis. Ada yang menulis untuk jadi popular, mengejar nama, mencari wang dan ingin menjadi hebat dan terkenal. Namun, bagi saya cukuplah saya menulis kerana kecintaan dan minat yang mendalam di bidang penulisan sedari saya dibangku sekolah rendah lagi. Saya memang suka buat karangan waktu bersekolah. Desakan arwah emak supaya rajin membaca, menulis kata-kata indah seperti Allahyarham Pendeta Za'ba telah menyuntik semangat saya untuk belajar berkarya mulai saat itu. Arwah emak sentiasa meminta saya agar membaca buku karangan Allahyarham iaitu "Pelita Bahasa Melayu." Buku itu memang menjadi teman setia saya sewaktu kecil.

Berlainan pula dengan arwah ayah. Beliau selalu menekankan saya untuk memberi tumpuan lebih kepada subjek matematik. Di situ jugalah tertanam minat saya mencintai subjek matematik meskipun subjek itu amat sukar. Alhamdulillah! Bidang itu juga pernah menjadi kerjaya saya suatu ketika dahulu, sebelum saya menumpukan perhatian kepada minat menulis saya kini.

Terima kasih mak... apak. Kalianlah guru dan pendorong saya terus menulis sehingga kini. Doa dan motivasi yang diberikan kepada saya teramat bermakna. Kepada mantan ustazah dan guru-guru yang mengetahui dunia penulisan saya ini serta turut mendoakan saya terus berjaya, Insya-Allah! Akan saya buktikan doa kalian telah Allah makbulkan kelak. Tidak akan saya lupa jasa budi dan bakti kalian semua. Akan saya terus menjaga nawaitu di hati agar tidak terpesong dengan kerlipan dunia maya.

Teristimewa juga kepada penyair Marsli N.O. Anda sebahagian daripada penyuntik semangat saya terus berusaha dan mencuba. Terima kasih atas teguran membina dan peribadi anda terhadap karya saya. Amat menghargainya. Terima kasih juga sudi menyapa saya sewaktu di PULARA, Pangkor 7, 2016. Kata-kata anda sangat bermakna dan terima kasih mengikuti perkembangan saya dalam diam dan menyifatkan saya sudah semakin matang. Alhamdulillah! Pertama kali saya menerima kata-kata terbaik itu dari seorang penyair hebat seperi anda. Hormat selalu... kerana anda juga adalah guru saya suatu ketika dahulu... terima kasih atas ilmu yang diberikan.

Salam santun untuk semua.

-CT Nurza

27 Dis 2016
03:48 ptg.

PULARA PANGKOR 7 2016 : KEAKRABAN KAMI









Inilah kamiiii... PULARA, Pangkor 7 2016 telah mempertemukan kami semua mengeratkan lagi jalinan ukhuwah yang ada. Alhamdulillah! Syukur teramat sangat apabila doa saya sebelum melangkah pergi, agar didekatkan dengan insan-insan yang ikhlas dan jujur bersahabat, luhur dari hati inilah wajah mereka yang sentiasa ada denganku, walau tidak diketahui kami akan bertemu di sana. Terima kasih semua kakak-kakak dan adik-adikku. Sayang selalu dari hati...

-CT Nurza
27 Dis 2016
02:17am


AKTIVITI PANTAI (SELINGAN) : PULARA PANGKOR 7 2016


 



Di sana kami dipertemukan tanpa duga. Bahagia dan ceria sekali. Sekepala sehati sejiwa. Amat meriangkan bersama-sama. Entah bila akan begini lagi. Terima kasih sahabat-sahabat semua. Berjemaah berkarya dalam antologi, berjemaah juga naik bot ramai-ramai keliling pulau bersama rakan sepenulisan sepenerbitan. Alhamdulillah! Bersama berkongsin ilmu, mencari ilmu kemudian menumpahkan ilmu dalam tulisan yang bermanfaat. Semoga silaturahmi kita kekal selamanya meski tak selalu bertemu dan bersama srpanjang masa. Kalian tetap kuhargai. Insya-Allah!

-CT Nurza
27 Dis 2016
02:06 am

PANTUN : BILAL BIN RABAH


Jawapan berbalas pantun #12

(i)

Pangkal berbuah si ara madu,
asing delima maung pulasan;
Bilal bin Rabah suara merdu,
muazin pertama laung azan.

(ii)

Empat berusul izin berhuma,
pulai di lembah akar ke jalan;
sahabat Rasul muazin pertama,
Bilal bin Rabah gelar panggilan.

*Pantun penutup tirai 2016 untuk "Projek Buku Antologi Berbalas Pantun" terbitan SPBTA. Terima kasih menilai pantun saya untuk merit 4 bintang. Alhamdulillah!

-CT Nurza
27 Dis 2016
01:38am


Monday, December 26, 2016

CATATAN 4 (HARI KEEMPAT) : PULARA PANGKOR 2016




11 Disember 2016 (Hari Keempat) : Hari terakhir kami di Pangkor. Kurang lebih jam 08.00 pagi, aku dan Kak Z telah bersiap-siap untuk berangkat pulang. Kami keluar dari hotel hampir jam 09.00 pagi dan menyewa sebuah teksi untuk menuju ke Coral Bay Resort bagi acara santai baca puisi sebelum pulang. Kami sampai ke perkarangan Coral Bay kurang lebih jam 10.00 pagi.

Malangnya, tanpa sempat turun dari teksi, kami melihat para peserta sudah berkemas-kemas untuk berangkat pulang menuju ke Jeti Pangkor dengan teksi-teksi yang telah disewa. Aku dan Kak Z tanpa membuang masa terus menukar keputusan untuk terus ke Jeti dan bersarapan di sana. Kami membayar RM10 seorang untuk sewa teksi pergi ke Jeti Pangkor.

Sampai di Jeti, aku dan Kak Z memohon jasa baik Petugas di sana untuk melihat dan menjaga beg pakaian kami berdua yang ditinggalkan sebentar kerana ingin bersarapan. Alhamdulillah! petugas di situ sudi membantu. Aku dan Kak Z bergegas mencari kedai makan di sekitar Jeti itu. Sebelum itu, kami sempat membeli serba sedikit buah tangan untuk dibawa pulang. Ikan bilis bermata biru yang popular di sana, tidak dilepaskan peluang untuk membelinya.

Hampir jam 12.00 tengah hari, kami mula bergerak menaiki feri untuk ke Jeti Lumut. Alhamdulillah! perjalanan kami berdua pergi dan balik telah dipermudahkan oleh-Nya, walaupun cuaca agak kurang memuaskan. Syukur pada Allah! dengan rezeki kesihatan dan kewangan yang tidak terganggu, akhirnya aku dan Kak Z telah dipertemukan buat pertama kalinya di Pulau yang cukup unik menerusi sebuah program yang begitu besar dan berprestij. Walaupun kami berdua cuma orang kecil, namun kami berdua tetap dipertemukan orang besar yang baik-baik dan hebat sudi menyapa kami. Mereka langsung tidak sombong dan ego seperti sesetengahnya yang terlalu perasan hebat. Masya-Allah!

Dan... sebagai tanda persahabatan yang tulus, aku dihadiahkan oleh Kak Z sepasu kektus yang dibuatnya sendiri dengan begitu kreatif. Terima kasih sekalung budi untuk hadiah yang sangat bererti kumaknai. Kektus persahabatan kami akan kujaga sebaiknya agar tidak rosak. Kepada rakan-rakan yang sentiasa bersamaku di sana, kalian tetap dalam doaku. Semoga akan ada pertemuan untuk kita bersama lagi di lain kesempatan dan acara. Insya-Allah!

Salam puisi salam harmoni. Ceria selalu. Salam  maghrib...

-CT Nurza
26 Disember 2016
19:11pm.

Thursday, December 22, 2016

CATATAN 3 : HARI KETIGA PULARA PANGKOR 7 2016





 10 Disember 2016 (hari Ketiga) : (Foto #1) ~ Bergambar kenangan dengan salah seorang Pemenang Hadiah Sastera Darul-Ridzuan 5 iaitu Dr. Raja yang juga merupakan rakan fbku. Tahniah! Dr. atas kejayaan yang ditempa.

(Foto ke #2) ~ Bergambar kenangan bersama seorang penulis dan juga moderator seminar pada hari ketiga iaitu Puan Nisah Harun. Tahniah! Puan Nisah yang cukup hebat menggendalikan majlis. Terima kasih kerana sudi bertegur sapa dan bergambar bersama-sama ketika masing-masing dalam perjalanan pulang ke hotel. Heeee... kat jalan pun sempat merakam kenangan bersama di PULARA. Salam silaturahmi antara kita. Moga ada peluang bertemu lagi di lain masa. Insya-Allah!



(Foto ke #3) ~ Kenangan bersama Dato' Aripin Said di Arena Pangkor. Beliau merupakan seorang Tokoh lagu-lagu rakyat dan puisi negeri Pahang. Tidak sangka Dato' sudi menyapa saya dan berbual-bual seketika sewaktu bertemu di sana. Alhamdulillah! sudah banyak kali bersua wajah di majlis-majlis susastera namun, ini pertama kali sempat berbual dan bertegur sapa dengannya. Salam hormat selalu dari saya buat Dato'. Semoga terus sihat dan sukses. Aamiin.

-CT Nurza-
22 Disember 2016
06:13ptg.


Thursday, December 15, 2016

CATATAN 2 ( HARI KEDUA) : PULARA PANGKOR 7 2016







09 Disember 2016 (Hari Kedua) : Tepat jam 08:00 pagi, dari tingkat 2 Appartment bilik 203, aku keluar menekan lift untuk turun ke lobi hotel. Tiba di lobi, sekali lagi aku lihat tiada siapa pun berada di situ. Sesak sekejap nafasku dibuatnya apabila memikirkan bagaimana cara untuk menghadiri seminar hari pertama di dewan Sek. Men. Pasir Bogak, Pangkor. Hendak berjalan kaki seorang diri tentulah tidak mungkin kerana ia agak jauh dan melelahkan. Jika berjalan kaki pun, pukul berapa baharu aku akan sampai ke dewan. Itulah persoalannya.

Pagi itu, sekali lagi aku tebalkan muka. Aku menghampiri seorang wanita India penyambut tetamu di hotel itu. Keramahannya membuatkan aku terlupa sejenak segala masalah yang dihadapi sementara waktu. Dengan mesra dia cuba menenangkan hatiku. Aku duduk lagi menunggu sehingga jam 08.30 pagi, kalau-kalau ada rakan dari bilik lain yang juga boleh dijadikan teman untuk pergi berseminar. Alhamdulillah! Allah membantu kesulitanku. Seorang demi seorang wajah rakan-rakan yang tidak kukenali terlihat di lobi hotel. Setelah ramai berkumpul di lobi, barulah wajah pemandu bas muncul untuk menghantar kami ke dewan seminar. Ah! lega hatiku saat itu. Satu masalah selesai sudah.

Hampir 08.45 pagi, bas mula bergerak menghantar kami ke dewan. Bas yang kami naiki, bas yang cukup antik. Manakan tidak, duduk sahaja terus atas besi kering, tiada span dan bunyinya berdentung dentang setiapkali bergerak. Kami semua tergelak sakan kerana berasa diri seperti orang tahanan apabila dibawa menaiki bas tersebut. Pendek kata, melaram pakai baju harga ratusan riggit pun takde maknanya... hehehe. Di dalam bas ini kami duduk bersesak-sesak atas kerusi panjang yang tidak berspan. Bayangkan!

Sampai ke destinasi, kami semua terus bergegas masuk ke dewan. Ketika itu seminar sesi pertama telah dianjak waktunya ke sebelah petang berikutan ia hari jumaat. Maka, hanya bacaan puisi dan acara santai sahaja diadakan. Menjelang tengah hari, selepas makan tengah hari di dewan, sebelum balik ke hotel, aku sempat bertemu dengan teman baikku Kak Z. Kami berbincang untuk tinggal sebilik. Akhirnya, aku menemani Kak Z pulang ke tempat penginapannya yang berhampiran dewan itu untuk mengemas barang. Kami berdua bagai tak boleh dipisahkan. Untuk membawa barang Kak Z, kami menyewa sebuah teksi untuk pulang ke hotelku. Alhamdulillah! selesai satu lagi masalah melanda. Kebetulan, ada rakan yang berhasrat untuk pindah ke hotel Kak Z jadi, kunci kami serahkan kepadanya. Justeru, jadilah pertukaran suka sama suka.

Setelah sampai ke Appartmentku, Kak Z memberitahu satu berita yang mengejutkan. Aku tergamam seketika. Menurut Kak Z, dia terdengar seseorang bercerita pasal kapal yang teroleng-oleng di tengah laut umpama kapal titanic gitu. Mereka semua terpaksa dipindahkan menaiki bot kecil kerana kapal hebat yang dinaiki tiba-tiba dilanda masalah. Detik itu sungguh-sungguh mencemaskan katanya.

"Syukurlah kita berdua selamat kerana tidak terpilih dan dipilih," ujar Kak Z. Aku tersenyum. 


Memang di sebalik hikmah itu, aku teramat bersyukur setelah kecewa pada awalnya,  lantaran kami bukan insan hebat untuk dipilih. Rupanya, sehebat mana pun manusia, rencana Allah lagi hebat mengatasi segalanya. Alhamdulillah! sekurangnya kami berdua memang tidak dipilih untuk mati di tengah laut tanpa nisan. Maka, sesekali aku tidak sesali lagi selepas ini, apabila aku dikatakan bukan insan hebat dan terpilih untuk program hebat-hebat insan terpilih pada masa hadapan. Aku belajar dari pemerhatian dan pengalaman sepanjang di sana. Cepat benar ketentuan Allah membuka mata hamba-Nya yang angkuh dan sombong. Itu pun jika mereka mahu mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku.

Malam, sewaktu mengikuti program seterusnya, Festival Puisi dan Lagu Rakyat di Arena Pangkor, aku sempat berbual-bual sebentar dengan sahabatku dari Singapura yang menaiki kapal itu.

"Mujurlah kakak tak ikut. Saya pun menyesal pergi," luahnya kepadaku, apabila aku cuba bertanya kesahihan berita yang kudengar. Menutup kisah itu, kami beralih ke topik lain. Malam itu, kami hiburkan diri mendengar dendangan lagu-lagu rakyat dan deklamasi puisi daripada delegasi-delegasi dari dalam dan luar negara yang turut hadir menyerikan PULARA, Pangkor.

Sebelum pulang, aku sempat berbual-bual dengan seorang Tokoh Lagu-Lagu Rakyat Negeri Pahang, iaitu Dato' Aripin Said di samping bergambar kenangan dengannya. Terima kasih Dato' kerana sudi menegur dan berbual-bual dengan saya ketika berada di sana. Kerendahan hati Dato' membuatkan saya bertambah hormat dan kagum. Semoga berlimpah rezeki Allah buat Dato' dan dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus berbakti dan berjuang dengan lagu-lagu rakyat. Aamiin...



- CT Nurza-
22 Dis 2016

01.58am

Wednesday, December 14, 2016

CATATAN 1 (HARI PERTAMA) : PULARA PANGKOR 7 2016




08 Disember 2016 : Mendaftarkan diri di Jeti Lumut sambil mengambil set 15 buah buku Antologi Sajak Bersama Pekan/Bandar di negeri Perak yang diterbitkan oleh Karyawan PK. Beli tiket feri RM10 untuk pergi dan balik ke Jeti Pangkor-Lumut.

Kurang lebih jam 12:00 tengah hari aku dan seorang rakan dari Tapah menaiki feri bertolak dari Jeti Lumut ke Jeti Pangkor. Sesampai di Jeti Pangkor kira-kira jam 1:00 tengah hari, aku dan rakan baikku terpaksa berpisah lantaran kami ditempatkan di hotel yang berlainan. Saat itu, Allah sahaja yang mengetahui tentang apa yang kami rasa. Aku terpaksa duduk sendirian di Jeti Pangkor, sementara menunggu teksi untuk membawaku ke tempat penginapan di DJ Holiday Resort
.

Di Jeti Pangkor, aku tiba-tiba dipertemukan pula dengan seorang rakanku dari Singapore. Memandangkan aku duduk di situ menunggu seorang diri, beliau mengajakku mengikutinya menaiki kapal untuk program menjelajah pulau seperti yang tercatat di dalam lampiran surat jemputan dan acara. Aku nyatakan aku baharu saja sampai di situ dan tiada diberitahu untuk mengikuti program itu, lantas aku menolak.

Tiba-tiba seorang petugas PULARA lelaki bertanya kepadaku, adakah aku ingin terus check-in ke hotel atau mengikuti program di dalam kapal. Aku serba salah, lantas kutunjukkan surat jemputan yang diterima menerusi e-mel yang siap ku'print' untuk ke sana. Petugas tersebut cuba bertanya kepada seseorang yang sedang sibuk menguruskan peserta untuk menaiki kapal TLDM itu. Tidak lama kemudian seorang wanita datang menghampiriku di tempat duduk menunggu teksi.

"Maaf ya, hanya yang dipilih sahaja boleh menaiki kapal. Dalam acara tu memang ada ditulis tapi untuk acara sahaja. Peserta-pesertanya telah dipilih. Ada tinggal kad pengenalan sewaktu daftar?" Tanyanya. Aku geleng.


"Kalau begitu puan tak boleh naik. Jangan marah ya," ujarnya lagi. Aku terdiam. Tahulah aku, untuk naik kapal pun semua ada kasta. Hmmm... dalam hati aku ngomong-ngomong sendiri.

"Pergilah! buat apa saya nak marah. Setakat naik kapal tu tidaklah hairan sangat. Nanti kalau saya naik pun kapal tu karam tengah laut, mati katak saya kat laut. Kesian suami saya," desis hatiku. Wanita itu terus berlari-lari anak menuju ke tempat check-in untuk menaiki kapal. Aku tinggal seorang diri di jeti itu. Hampir jam 2.30 petang, baharu  aku diminta oleh petugas PULARA untuk menaiki teksi ke hotel.

Menjelang jam 8:00 malam, aku turun ke lobi hotel. Tiada seorang pun rakan yang kutemui di situ. Bagai nak menitik air mata, al-maklum sorang-sorang diri di tempat orang tiada teman untuk aku bertanya apa-apa pasal program seterusnya. Untuk menenangkan hati, aku tebalkan muka bertanya di kaunter siapa rakan sebilikku. Malangnya, rakan yang ditempatkan denganku tidak pula datang mendaftarkan diri sampai ke sudah.

"Saya bimbang dia pergi ikut kapal," kata seorang petugas wanita di kaunter. 


Wajahnya kelihatan cemas, namun tidak pula aku bertanya kenapa. Berat benar mulut untuk bertanya apabila disebut pasal kapal. Mungkin hati rasa amat terhiris dengan sikap egois mereka yang tadinya mengatakan aku tidak dipilih dan terpilih untuk mengikuti program tersebut. Yang dipilih hanya yang hebat-hebat katanya. Tidak mengapa, kerana aku memang jenis manusia yang sentiasa sedar diri dan cermin diri. Siapalah kita. Hanya layak ke bilik seminar aje setiap hari. Sewa teksi bayar teksi. Makan di luar bajet sendiri. Tidak kisah. Hanya 3 kali sahaja makan di majlis itu sepanjang PULARA. Naik bas ke dewan juga boleh dikira sahaja. Selebihnya kami keluar duit poket sendiri ulang-alik ke dewan dengan teksi.

~Kisah pasal "Kapal" akan disambung pada catatan hari kedua. Tunggu!~

-CT Nurza
14 Disember 2016
20:32

Saturday, December 3, 2016

PULARA, PANGKOR ANTARABANGSA KE #7 (2016)


Assalamualaikum dan Selamat Petang...

Salam bahagia salam sejahtera. Selamat berhujung minggu. Pejam celik pejam celik, sekejap sahaja masa berlalu. Esok, saya dah kena pergi beli barang keperluan serba sedikit nampaknya untuk persediaan ke PULARA, Pangkor. Al-maklumlah, ada beberapa majlis rasmi yang memerlukan peserta berpakaian penuh sopan kerana event ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, manakala majlis penutupannya akan dihadiri oleh Sultan Perak. 


Begitulah perkhabaran yang saya dengar. Alhamdulillah! dalam debar dan gementar untuk bertemu insan-insan yang terlalu hebat ini, semangat nak ke sana tiba-tiba berkobar semula walaupun beribu kesukaran yang datang. Insya-Allah! pengorbanan demi ilmu, demi pengalaman dan demi menemui sahabat-sahabat baik yang turut bersama di sana nanti, pasti akan diberkati oleh-Nya menurut nawaitu yang terpasang sebelum pergi.

Sebenarnya, untuk event-event besar sebegini, inilah kali pertama saya terpilih menyertainya. Itu pun kerana tanpa sengaja saya terjebak dengan 15 buah Antologi Sajak Bersama Pekan/Bandar di Perak yang diterbitkan oleh Karyawan PK. Namun begitu, saya cuma menyumbang karya untuk 13 buah antologi sahaja dan syukur, kerana nampaknya tiada karya yang kena tendang selepas penilaian teliti dilakukan. Alhamdulillah! 


Tujuan ke sana pun, adalah untuk mengambil set buku antologi bersama dan jua Kalendar yang memuatkan foto wajah saya sebagai cenderamata dari Karyawan PK kepada kesemua penyumbang-penyumbang karya yang dihargainya. Alhamdulillah! rezeki 2016 dan 2017, dapatlah tengok kalendar termuat foto wajah sendiri bersama sasterawan-sasterawan negara yang diterbitkan. Wahhh! teruja menguja gitu... macam kera dapat bunga je rasanya, hehehe... ini merupakan satu kejutan yang tidak terduga.

Apa pun, bak kata pepatah "Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa" maka tiada kata seindah bahasa mampu saya ucapkan kepada Karyawan PK dan Kerajaan Negeri Perak kerana sudi memuatkan karya-karya kecil saya di dalam buku yang cukup istimewa itu. Terima kasih sekalung budi. Jasa dan budi baik Tuan amat saya hargai dan sanjungi. Semoga Karyawan PK terus maju dengan segala usaha yang dilakukan. Aamiin.

Salam santun dan hormat selalu buat pembaca-pembaca setia blog NKN juga. Anda semua amat saya hargai... semoga laman ini memberi manfaat kepada kalian semua. Insya-Allah!

  
-CT Nurza-
Port Klang, Selangor
03 Disember 2016
18:19pm.