ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, December 15, 2016

CATATAN 2 ( HARI KEDUA) : PULARA PANGKOR 7 2016







09 Disember 2016 (Hari Kedua) : Tepat jam 08:00 pagi, dari tingkat 2 Appartment bilik 203, aku keluar menekan lift untuk turun ke lobi hotel. Tiba di lobi, sekali lagi aku lihat tiada siapa pun berada di situ. Sesak sekejap nafasku dibuatnya apabila memikirkan bagaimana cara untuk menghadiri seminar hari pertama di dewan Sek. Men. Pasir Bogak, Pangkor. Hendak berjalan kaki seorang diri tentulah tidak mungkin kerana ia agak jauh dan melelahkan. Jika berjalan kaki pun, pukul berapa baharu aku akan sampai ke dewan. Itulah persoalannya.

Pagi itu, sekali lagi aku tebalkan muka. Aku menghampiri seorang wanita India penyambut tetamu di hotel itu. Keramahannya membuatkan aku terlupa sejenak segala masalah yang dihadapi sementara waktu. Dengan mesra dia cuba menenangkan hatiku. Aku duduk lagi menunggu sehingga jam 08.30 pagi, kalau-kalau ada rakan dari bilik lain yang juga boleh dijadikan teman untuk pergi berseminar. Alhamdulillah! Allah membantu kesulitanku. Seorang demi seorang wajah rakan-rakan yang tidak kukenali terlihat di lobi hotel. Setelah ramai berkumpul di lobi, barulah wajah pemandu bas muncul untuk menghantar kami ke dewan seminar. Ah! lega hatiku saat itu. Satu masalah selesai sudah.

Hampir 08.45 pagi, bas mula bergerak menghantar kami ke dewan. Bas yang kami naiki, bas yang cukup antik. Manakan tidak, duduk sahaja terus atas besi kering, tiada span dan bunyinya berdentung dentang setiapkali bergerak. Kami semua tergelak sakan kerana berasa diri seperti orang tahanan apabila dibawa menaiki bas tersebut. Pendek kata, melaram pakai baju harga ratusan riggit pun takde maknanya... hehehe. Di dalam bas ini kami duduk bersesak-sesak atas kerusi panjang yang tidak berspan. Bayangkan!

Sampai ke destinasi, kami semua terus bergegas masuk ke dewan. Ketika itu seminar sesi pertama telah dianjak waktunya ke sebelah petang berikutan ia hari jumaat. Maka, hanya bacaan puisi dan acara santai sahaja diadakan. Menjelang tengah hari, selepas makan tengah hari di dewan, sebelum balik ke hotel, aku sempat bertemu dengan teman baikku Kak Z. Kami berbincang untuk tinggal sebilik. Akhirnya, aku menemani Kak Z pulang ke tempat penginapannya yang berhampiran dewan itu untuk mengemas barang. Kami berdua bagai tak boleh dipisahkan. Untuk membawa barang Kak Z, kami menyewa sebuah teksi untuk pulang ke hotelku. Alhamdulillah! selesai satu lagi masalah melanda. Kebetulan, ada rakan yang berhasrat untuk pindah ke hotel Kak Z jadi, kunci kami serahkan kepadanya. Justeru, jadilah pertukaran suka sama suka.

Setelah sampai ke Appartmentku, Kak Z memberitahu satu berita yang mengejutkan. Aku tergamam seketika. Menurut Kak Z, dia terdengar seseorang bercerita pasal kapal yang teroleng-oleng di tengah laut umpama kapal titanic gitu. Mereka semua terpaksa dipindahkan menaiki bot kecil kerana kapal hebat yang dinaiki tiba-tiba dilanda masalah. Detik itu sungguh-sungguh mencemaskan katanya.

"Syukurlah kita berdua selamat kerana tidak terpilih dan dipilih," ujar Kak Z. Aku tersenyum. 


Memang di sebalik hikmah itu, aku teramat bersyukur setelah kecewa pada awalnya,  lantaran kami bukan insan hebat untuk dipilih. Rupanya, sehebat mana pun manusia, rencana Allah lagi hebat mengatasi segalanya. Alhamdulillah! sekurangnya kami berdua memang tidak dipilih untuk mati di tengah laut tanpa nisan. Maka, sesekali aku tidak sesali lagi selepas ini, apabila aku dikatakan bukan insan hebat dan terpilih untuk program hebat-hebat insan terpilih pada masa hadapan. Aku belajar dari pemerhatian dan pengalaman sepanjang di sana. Cepat benar ketentuan Allah membuka mata hamba-Nya yang angkuh dan sombong. Itu pun jika mereka mahu mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku.

Malam, sewaktu mengikuti program seterusnya, Festival Puisi dan Lagu Rakyat di Arena Pangkor, aku sempat berbual-bual sebentar dengan sahabatku dari Singapura yang menaiki kapal itu.

"Mujurlah kakak tak ikut. Saya pun menyesal pergi," luahnya kepadaku, apabila aku cuba bertanya kesahihan berita yang kudengar. Menutup kisah itu, kami beralih ke topik lain. Malam itu, kami hiburkan diri mendengar dendangan lagu-lagu rakyat dan deklamasi puisi daripada delegasi-delegasi dari dalam dan luar negara yang turut hadir menyerikan PULARA, Pangkor.

Sebelum pulang, aku sempat berbual-bual dengan seorang Tokoh Lagu-Lagu Rakyat Negeri Pahang, iaitu Dato' Aripin Said di samping bergambar kenangan dengannya. Terima kasih Dato' kerana sudi menegur dan berbual-bual dengan saya ketika berada di sana. Kerendahan hati Dato' membuatkan saya bertambah hormat dan kagum. Semoga berlimpah rezeki Allah buat Dato' dan dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus berbakti dan berjuang dengan lagu-lagu rakyat. Aamiin...



- CT Nurza-
22 Dis 2016

01.58am

No comments: