ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, December 27, 2016

SAJAK : SEJAMBAK BUNGA PUTIH


Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Lama sudah tidak menulis dan meletakkan puisi-puisi di sini, hari ini... tergerak rasa hati nak kongsikan karya terbaharu saya yang ditulis sekadar suka-suka untuk dimuatkan di laman blog ini sebagai tatapan semua. 

Sebenarnya, saya amat jarang menulis puisi-puisi begini kerana saya lebih kepada karya-karya yang bertema dan berjiwa patriotik. Bagi saya, puisi-puisi yang bertema ini lebih memberi manfaat dan pengertian untuk dihayati, apatah lagi menyuntik semangat kepada generasi muda untuk memupuk rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara.

Lain orang lain pemikiran. Lain matlamat atau tujuan masing-masing untuk menulis. Ada yang menulis untuk jadi popular, mengejar nama, mencari wang dan ingin menjadi hebat dan terkenal. Namun, bagi saya cukuplah saya menulis kerana kecintaan dan minat yang mendalam di bidang penulisan sedari saya dibangku sekolah rendah lagi. Saya memang suka buat karangan waktu bersekolah. Desakan arwah emak supaya rajin membaca, menulis kata-kata indah seperti Allahyarham Pendeta Za'ba telah menyuntik semangat saya untuk belajar berkarya mulai saat itu. Arwah emak sentiasa meminta saya agar membaca buku karangan Allahyarham iaitu "Pelita Bahasa Melayu." Buku itu memang menjadi teman setia saya sewaktu kecil.

Berlainan pula dengan arwah ayah. Beliau selalu menekankan saya untuk memberi tumpuan lebih kepada subjek matematik. Di situ jugalah tertanam minat saya mencintai subjek matematik meskipun subjek itu amat sukar. Alhamdulillah! Bidang itu juga pernah menjadi kerjaya saya suatu ketika dahulu, sebelum saya menumpukan perhatian kepada minat menulis saya kini.

Terima kasih mak... apak. Kalianlah guru dan pendorong saya terus menulis sehingga kini. Doa dan motivasi yang diberikan kepada saya teramat bermakna. Kepada mantan ustazah dan guru-guru yang mengetahui dunia penulisan saya ini serta turut mendoakan saya terus berjaya, Insya-Allah! Akan saya buktikan doa kalian telah Allah makbulkan kelak. Tidak akan saya lupa jasa budi dan bakti kalian semua. Akan saya terus menjaga nawaitu di hati agar tidak terpesong dengan kerlipan dunia maya.

Teristimewa juga kepada penyair Marsli N.O. Anda sebahagian daripada penyuntik semangat saya terus berusaha dan mencuba. Terima kasih atas teguran membina dan peribadi anda terhadap karya saya. Amat menghargainya. Terima kasih juga sudi menyapa saya sewaktu di PULARA, Pangkor 7, 2016. Kata-kata anda sangat bermakna dan terima kasih mengikuti perkembangan saya dalam diam dan menyifatkan saya sudah semakin matang. Alhamdulillah! Pertama kali saya menerima kata-kata terbaik itu dari seorang penyair hebat seperi anda. Hormat selalu... kerana anda juga adalah guru saya suatu ketika dahulu... terima kasih atas ilmu yang diberikan.

Salam santun untuk semua.

-CT Nurza

27 Dis 2016
03:48 ptg.

No comments: