ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Monday, February 27, 2017

ANTOLOGI CERPEN 2017


Sakitnya terluka
apabila cinta dikhianati
pedihnya menular ke hati
bagai ditikam belati tajam
kesetiaan dirobek kejam
kepercayaan tersiat carik
hati menangis setiap detik
beginikah cinta yang didamba
bahagia dipinta
duka bertakhta
aduh! sakitnya...

Nukilan Spontan
27 Februari 2017
15:43


Alhamdulillah! Telah berjaya disiapkan. Nantikan penerbitannya sekitar April akan datang. Cerpen bertema cinta islami yang kedua telah cuba saya hasilkan lagi untuk kali ini. Insya-Allah! Akan terus berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang terbaik sebagai teladan kepada generasi akan datang. Semoga bermanfaat.



CT Nurza
03 Mac 2017
04:19 ptg

Sunday, February 26, 2017

KEPEDIHAN SEBUAH DUSTA



Aduhai kawan...

kesempitanmu sering kupeduli

tiapkali kau meraih simpati

aku senantiasa membantu

walau terkadang kurasa tertipu

dengan manis janji-janjimu

yang hanya mengambil kesempatan padaku

saat engkau memerlukan ringgit

kala diri terhimpit tersepit.


Kawan...

aku tidak punya wang berpeti-peti

namunku tetap punya hati

demi kawan kuabaikan kepentingan diri

tetapi kau langsung tidak mengerti

setelah permintaanmu kutunai

aku terasing bagaikan gua sepi

tidak pernah kau peduli

apalagi menjaga hati.


Kawan..

saat kau memerlukan wang

akulah sahabat akulah teman

namun dimanakah rakan yang kau sayang

tika kau tertiarap tergelimpang

lantas kau kalut mencari aku

tanpa silu merayu-rayu meminta tolong

kau teramat memerlukan wang 

dan aku menjadi sasaranmu

lantas kulupakan keinginan hati

demi membantu rakan-rakan yang terhimpit

akhirnya aku sendiri yang sakit

apabila kau tanpa silu rakus menggigit.


Kawan...

beginikah balasanmu?

menghargai pengorbanan seorang sahabat

pedihnya kau campakkan musibat

sedang hutangmu kusorok kusembunyi

walau sakit memendam rasa

atas janjimu yang dusta.


Nukilan Spontan,
©CT Nurza
25 Februari 2017
07:31am.

SELOKA : LAGAK PESARA



Berpuluh tahun asyik berkerja,
tiba waktunya perlu bersara,
janganlah pula duduk sahaja,
menyulam mimpi si anak dara.

Jika bersara sebelum waktu,
jadilah pula peladang jaya,
keringat jatuh di muka pintu,
lelah terbayar bila berjaya.

Hebat pesara bila bersara,
poket berisi setiap bulan,
rapatlah datang si anak dara,
minta belanja ajak berjalan.

Saham meningkat sekelip mata,
pesara tua lupalah diri,
jalan ke kota bermain mata,
lupa sejenak anak dan isteri.

Demikian seloka pesara,
hidup bergaya meniti usia.

Nukilan spontan,
©CT Nurza
25 Februari 2017
11:00 mlm.

Thursday, February 23, 2017

GURINDAM BUDAYA HUTANG


Apabila hutang keliling pinggang,
hubungan baik menjadi renggang.

Apabila hutang sukar dilunas,
tentulah hati menjadi panas.

Apabila hutang menjadi tabiat,
membayar hutang pastilah liat.

Apabila hutang sentiasa bertambah,
bilakah diri mahu berubah.

Apabila hutang membebankan orang,
teman yang rapat menjadi kurang.

Apabila hutang tidak dibayar,
tindak-tanduknya menjadi liar.

Apabila hutang jadi keasyikan,
hilanglah hormat saudara dan rakan.

Apabila hutang hanya didiamkan.
kelak diri tak dipedulikan.

Apabila hutang menjadi budaya,
tentulah hidup tak akan kaya.

Apabila hutang sengaja diabaikan,
mati kelak tak disolatkan.

Apabila hutang sudah berakar,
meminta tolong tentulah sukar.

©CT Nurza
23 Februari 2017
03:16 pg.

GURINDAM KETIKA SENJA



Insya-Allah! Gurindam ini sedang dalam proses penerbitan.

-CT Nurza
01:49Am

Tuesday, February 21, 2017

CORAT-CORET BERSAMA SAYA (I)

Assalamualaikum...



Selamat petang dan salam senja semua. Apa khabar? Diiringkan doa dan harapan semoga rakan pengunjung setia blog NKN sihat walafiat dan ceria-ceria selalu. Mohon maaf, membiarkan laman ini sunyi sepi tanpa dikemas kini entrynya.

Sebagai menggiatkan usaha tahun 2016, tahun ini saya kesibukan sedikit menyiapkan karya-karya terbaharu untuk Antologi Bersama yang akan diterbitkan nanti. Saya masih lagi terus belajar untuk menghasilkan karya-karya bermutu yang boleh memberi manfaat sesudah saya tiada kelak.

Apabila ada yang bertanya kepada saya, kenapa tidak menulis novel? Saya cuma mampu jawab cinta saya pada bidang puisi. Meskipun katanya menulis puisi tidak sampai ke mana, tetapi saya tidak kisah. Saya menulis bukan untuk cari nama, cari RM berjuta-juta lemon atau apa, tetapi saya menulis sebab saya minat dan ingin mengisi waktu-waktu lapang saya. 

Semenjak meninggalkan alam pekerjaan dan fokus terhadap rumah tangga dan kesihatan diri, hanya dengan menulis sahajalah saya mengisi masa-masa saya. Menulis ini lebih kepada menjadi terapi jiwa saya sebenarnya. Jadi jika ada yang bertanggapan lain dari niat saya, itu terpulang kepada diri masing-masing.

Saya bersyukur, kerana dengan puisi jugalah saya dapat menyertai event-event penting dan berprestij walaupun cuma sekadar menonton dan menjadi perserta sahaja. Itu sudah memadailah bagi saya. Apa guna saya memiliki novel jika novel saya cuma dianggap novel sampah oleh masyarakat pembaca. Novel yang tidak membangunkan minda insan dan tiada ilmu serta manfaat yang dapat dikutip melaluinya. 


Oleh itu, cukuplah saya menjadi diri sendiri. Tulislah sahaja apa yang saya minat dan cinta kerana saya berdiri di atas genre puisi, maka saya akan pelajari dan dalami bidang ini sehingga saya mahir dan mampu menjadi pemuisi yang baik. Saya tidak hidup dengan pujian untuk terus berjaya dan maju, tetapi melalui kritikan dan cemuhan yang membuatkan saya bangkit dan bertahan.

Kepada rakan-rakan yang sama-sama masih bertatih untuk bergerak dalam dunia penulisan ini, tabah dan cekallah menempuh segala apa yang tidak kita ingini. Dugaan dan cabaran itu tetap tidak akan mematikan langkah dan niat suci kita, untuk terus berusaha dan berjuang dengan cara sendiri. Abaikan sahaja suara-suara azazil yang sering membingit di telinga. Hindarkan diri dari mata-mata lalat yang hanya tahu melihat keburukan dan kelemahan kita. 


Tidak rugi kita kehilangan manusia sebegini dalam hidup kerana islam juga amat menitik beratkan kita agar memilih sahabat. Sahabat itu menjadi cerminan diri kita. Jika berkawan dengan pengumpat, nescaya kita juga akan jadi kaki pengumpat. Tidakkah rugi kita memberikan pahala amalan kita untuk orang lain sedangkan diri kita hanya kedapatan penat dan lelah berbuat amal. Jadi, fikir-fikirlah ya... usah bazirkan masa kita dengan perkara sia-sia. Lebih baik kita fokus pada kehidupan yang lebih memberi faedah untuk duniawi dan ukhrawi kita.

Okeylah, memandangkan azan sudah berkumandang, saya mohon diri dulu. Ada masa nanti saya akan kemas kini lagi laman ini dengan nukilan-nukilan saya dan aktiviti sastera yang saya sertai. Selamat menunaikan solat fardu maghrib kepada semua... jangan lupa tolong doa-doakan saya juga ya... jumpa lagi.

Terima kasih dan Assalamualaikum...

- CT Nurza
21 Feb 2017
19:33PM.


Friday, February 17, 2017

PROGRAM ZK MENGENANG SASTERAWAN NEGARA USMAN AWANG


Assalamualaikum...

Sejak pertama kali saya mengikuti program ZK di UPSI, Tg. Malim dan kemudian ZK Teratak Bonda, di Kg. Kuala Sg. Baru, Melaka, tiba-tiba pada kali ini terbuka lagi hati saya untuk mengikuti program tersebut. Insya-Allah! Jika direzekikan kesihatan saya baik dan tiada masalah nanti, saya akan hadir menyertai program ini. Demi ilmu, saya akan korbankan sedikit masa dan wang untuk ke sana. Hanya dengan mengikuti program-program seumpama ini sahajalah saya dapat memperbaiki diri menambah ilmu dan membina keyakinan diri untuk melangkah dan terus cekal bertahan dalam dunia penulisan. Semoga Allah merahmati minat dan usaha saya selama ini. Aamiin...

Wednesday, February 15, 2017

FOBIA (NOVEL TERBAHARU 2017)


Sebuah Novel genre Thriller hasil karya seorang novelis berpengalaman Pn. Siti Rozilah, kini sudah berada di pasaran. Kepada sesiapa yang berminat boleh dapatkan novel ini menerusi beliau di talian WhatsaAp 011-23567613.

Harga : RM35.00 (Sem) / RM40.00 (Sabah/Sarawak)

Insya-Allah! Sinopsisnya akan saya kemaskinikan nanti di sini.

Sinopsis Ringkas :-

Dia menjebak mangsanya dengan kata-kata cinta sebelum menculik dan mendera mereka di banglonya. Dia suka mendengar tangisan dan rayuan mereka. Kenapakah dia memilih perempuan seperti Sherry sebagai mangsanya? Kemudian, muncul pula seorang pakar psikiatri bernama Dr. Humaira. Apakah Dr. Humaira dapat melarikan dirinya daripada dikejar masa silam yang menakutkan? Dan siapakah sebenarnya Luth, Hidayat serta Hakeem? Apakah rahsia mereka? Carikan jawapannya di dalam sebuah novel thriller bertajuk : FOBIA.

Awas, Anda mungkin ditemani psiko!

Sunday, February 12, 2017

PROJEK ANTOLOGI SONIAN II (MALAYSIA)





Hanya #9 rangkap "Puisi Genre Sonian Edisi Kedua" ini dapat saya hasilkan kali ini. Selebihnya belum tahu lagi sempat atau tidak menambah bilangannya memandangkan sudah lama tidak dapat mengikuti kelas disebabkan kesibukan dan masalah kesihatan. Walau apa pun terima kasih sekalung budi kepada rakan-rakan seperjuangan yang terus bersama menyokong dan mendoakan saya. Tanpa anda siapalah saya. Kita saling memberi semangat dan kekuatan bersama. Alhamdulillah!

-CT Nurza
12 Feb 2017
9:26mlm 

YANG TAK MENGENANG BUDI - IRI HATI



  




~ Hancur hati... kepercayaan pun hilang. Kuhulur budi, tuba dibalas. Segala pengkhianatan dan fitnahmu tak akan aku maafkan dunia akhirat kawan. Semoga Allah membalas setiap perbuatan itu dengan seadilnya kelak. Bencana lidah akan membawa petaka kepada diri sendiri. Waspadalah!! Umur dah tua cukup-cukuplah mengumpat mengata mengaibkan orang lain kerana hasad di hati.
Maaf, bila rasa hormat telah hilang, aku terpaksa menjadi biadap dengan manusia yang tidak tahu menghargai budi dan bermulut longkang dengan rakan-rakan... please move on! Eloklah kau pergi jauh dariku. I like!




ANTOLOGI SAJAK-SAJAK PATRIOTIK KERSANI 2017




Alhamdulillah! Antologi Bersama yang ke #31 & ke #32 sudah selamat diterbitkan.



Tahniah! Kepada pihak penerbit dan penulis-penulis yang gigih berinisiatif menghasilkan karya-karya terbaik semampunya. Insya-Allah! Tidak mengapa jikalau hari ini karya-karya kita masih terlalu kecil untuk dipandang segolongan insan, buktikan suatu hari nanti karya kecil kita juga mampu menjadi karya besar. Semua itu tidak mustahil apabila Allah memilih karya siapa yang ingin direzekikannya kelak. Sebagai penulis, ayuh kita terus menulis dengan luhur. Keluhuran hati  itu lebih utama dalam berkarya.

Terima kasih Pena Padu dan SPBTA kerana sudi berkerjasama dengan baik. Semoga terus maju jaya dalam dunia penerbitan.

-CT Nurza
12 Feb 2017
4:34 ptg.

Saturday, February 4, 2017

KEPUTUSAN BERBALAS PANTUN #24 (PROJEK BERBALAS PANTUN 2017)




Assalamualaikum wbkth!

Syukur setinggi syukur! kerana dengan izin restu serta limpah kurnianya, kali ini saya masih lagi dapat mengekalkan kejayaan kecil ini dalam diari catatan perjalanan dunia penulisan saya untuk tahun 2017 ini.

Terima kasih buat sahabat-sahabat GBT kusayang, kerana keikhlasan hati kalian mendoakan saya tanpa jemu, akhirnya rezeki ilham diberi oleh-Nya untuk mencipta bait-bait aksara dalam rangkap pantun ini biarpun terasa amat mencabar.

Selagi saya diberi kesihatan untuk menulis, saya akan tetap menulis dengan cara sendiri. Insya-Allah!

Salam berhujung minggu untuk semua. Jumpa lagi dalam entry sesi kembara saya ke Narathiwat, Thailand baru-baru ini... tunggu!!! 😘😘😘😘

-CT Nurza
04 Februari 2017
10:50mlm.