ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, February 21, 2017

CORAT-CORET BERSAMA SAYA (I)

Assalamualaikum...



Selamat petang dan salam senja semua. Apa khabar? Diiringkan doa dan harapan semoga rakan pengunjung setia blog NKN sihat walafiat dan ceria-ceria selalu. Mohon maaf, membiarkan laman ini sunyi sepi tanpa dikemas kini entrynya.

Sebagai menggiatkan usaha tahun 2016, tahun ini saya kesibukan sedikit menyiapkan karya-karya terbaharu untuk Antologi Bersama yang akan diterbitkan nanti. Saya masih lagi terus belajar untuk menghasilkan karya-karya bermutu yang boleh memberi manfaat sesudah saya tiada kelak.

Apabila ada yang bertanya kepada saya, kenapa tidak menulis novel? Saya cuma mampu jawab cinta saya pada bidang puisi. Meskipun katanya menulis puisi tidak sampai ke mana, tetapi saya tidak kisah. Saya menulis bukan untuk cari nama, cari RM berjuta-juta lemon atau apa, tetapi saya menulis sebab saya minat dan ingin mengisi waktu-waktu lapang saya. 

Semenjak meninggalkan alam pekerjaan dan fokus terhadap rumah tangga dan kesihatan diri, hanya dengan menulis sahajalah saya mengisi masa-masa saya. Menulis ini lebih kepada menjadi terapi jiwa saya sebenarnya. Jadi jika ada yang bertanggapan lain dari niat saya, itu terpulang kepada diri masing-masing.

Saya bersyukur, kerana dengan puisi jugalah saya dapat menyertai event-event penting dan berprestij walaupun cuma sekadar menonton dan menjadi perserta sahaja. Itu sudah memadailah bagi saya. Apa guna saya memiliki novel jika novel saya cuma dianggap novel sampah oleh masyarakat pembaca. Novel yang tidak membangunkan minda insan dan tiada ilmu serta manfaat yang dapat dikutip melaluinya. 


Oleh itu, cukuplah saya menjadi diri sendiri. Tulislah sahaja apa yang saya minat dan cinta kerana saya berdiri di atas genre puisi, maka saya akan pelajari dan dalami bidang ini sehingga saya mahir dan mampu menjadi pemuisi yang baik. Saya tidak hidup dengan pujian untuk terus berjaya dan maju, tetapi melalui kritikan dan cemuhan yang membuatkan saya bangkit dan bertahan.

Kepada rakan-rakan yang sama-sama masih bertatih untuk bergerak dalam dunia penulisan ini, tabah dan cekallah menempuh segala apa yang tidak kita ingini. Dugaan dan cabaran itu tetap tidak akan mematikan langkah dan niat suci kita, untuk terus berusaha dan berjuang dengan cara sendiri. Abaikan sahaja suara-suara azazil yang sering membingit di telinga. Hindarkan diri dari mata-mata lalat yang hanya tahu melihat keburukan dan kelemahan kita. 


Tidak rugi kita kehilangan manusia sebegini dalam hidup kerana islam juga amat menitik beratkan kita agar memilih sahabat. Sahabat itu menjadi cerminan diri kita. Jika berkawan dengan pengumpat, nescaya kita juga akan jadi kaki pengumpat. Tidakkah rugi kita memberikan pahala amalan kita untuk orang lain sedangkan diri kita hanya kedapatan penat dan lelah berbuat amal. Jadi, fikir-fikirlah ya... usah bazirkan masa kita dengan perkara sia-sia. Lebih baik kita fokus pada kehidupan yang lebih memberi faedah untuk duniawi dan ukhrawi kita.

Okeylah, memandangkan azan sudah berkumandang, saya mohon diri dulu. Ada masa nanti saya akan kemas kini lagi laman ini dengan nukilan-nukilan saya dan aktiviti sastera yang saya sertai. Selamat menunaikan solat fardu maghrib kepada semua... jangan lupa tolong doa-doakan saya juga ya... jumpa lagi.

Terima kasih dan Assalamualaikum...

- CT Nurza
21 Feb 2017
19:33PM.


No comments: