ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, May 30, 2017

CORAT CORET (vi)

Assalamualaikum...

Selamat pagi dan salam dhuha. Bagaimana cuaca di tempat saudara dan saudari, tuan puan... kat tempat saya cuaca mendung. Mungkin tunggu masa je hujan turun. Apa pun syukur Alhamdulillah! Semoga gembira makhluk alam dengan titisan rahmat Ilahi yang mencurah.

Hari ni apa plan kita ya? Saya cuma nak beroperasi melipat kain baju dan mengemas rumah je hari ni. Hujan-hujan ni memerap di rumah lagi bagus. Banyak kerja-kerja rumah dapat disempurnakan. Insya-Allah!

Sempena bulan berkat ni, mari kita bersama-sama mendoakan ibu-bapa, adik-beradik, sanak saudara serta muslimin muslimat takkira di mana pun berada agar sentiasa diberi kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan dan rezeki serta dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang dan aman. Amin...

Selamat menunaikan ibadah puasa. Jumpa lagi.

-CT Nurza
30 Mei 2017 ni

Monday, May 29, 2017

KONSERT MUZIKAL PUITIKA PUJANGGA 2017


Assalamualaikum...

Selamat pagi semua. Selamat menjalani ibadah puasa. Semoga sihat sejahtera meneruskan rutin harian kita.

Beberapa bulan lepas, saya berhasrat sangat untuk menyaksikan Konsert Muzikal Puitika Pujangga ini. Namun disebabkan berhalangan masalah kesihatan, harapan hanya tinggal harapan.

Hari ini, saya ingin kongsikan artikel yang ditulis oleh penulis undangan kolum 1 Memoir di dalam Akhbar Buletin Rakyat kira-kira sebulan yang lalu.

Untuk membaca artikel ini, anda boleh klik pada gambar dan zoomkan. Terima kasih kepada penulis kolum 1 Memoir, Ayahanda MPTD yang sudi berkongsi artikel ini untuk dipaparkan di blog kecil saya.

Semoga ada manfaat untuk kita bersama.

Terima kasih sekalung budi.

-CT Nurza
29 Mei 2017

Sunday, May 28, 2017

ANTOLOGI TRIBUNAL CINTA & BERBALAS PANTUN.


Foto 1 : Antologi Bersama Ke #34 (Antologi Berbalas Pantun)


Foto 2 : Antologi Bersama Ke #35 (Antologi Tribunal Cinta).

-CT Nurza
28 Mei 2017

UCAPAN RAMADAN 1438 HIJRAH



Tiada yang lebih manis apabila Ramadan tiba, kita dapat berbuka puasa bersama ayahbonda tercinta. Al-Fatihah...

SALAM RAMADAN 1438 HIJRAH



Assalamualaikum dan salam sahur...

Apa khabar semua? Didoakan agar sentiasa dalam peliharaan Allah SWT sepanjang masa.

Beberapa hari ni semangat saya menjadi 'down' sedikit apabila karya yang dinantikan penerbitannya tiba-tiba berlaku kecacatan pada awal perenggan dan kesilapan tatabahasa yang dilakukan oleh pihak lain tanpa mengikut manuskrip asal cerpen yang saya berikan.

Saya tidak mahu hipokrit kerana saya bukan manusis jenis kaki bodek, ampu dan bermuka-muka untuk memuji jika karya saya jadi kurang elok selepas diterbitkan dalam bentuk buku. Bagi saya penerbitan karya di dalam buku ini sangat penting dijaga mutu karyanya kerana ia menjadi persembahan yang terbaik untuk pembaca menilai dan meneliti daripada pelbagai aspek.

Tidak semua penulis zero ilmu tatabahasa walaupun kami bukan ahli bahasa bertauliah dan hebat. Sebagai penulis kami sentiasa meningkatkan ilmu penulisan... tetapi apabila kesilapan itu dilakukan oleh pihak kedua tanpa pengetahuan kami semasa proses layout dan editing, ia terasa amat mengecewakan biar terpaksa memendam rasa karya yang ditulis menjadi 'cacat' dan mendapat kritikan. Semua ini penulis yang akan tanggung apabila karya yang dibaca oleh khalayak terdapat banyak kesilapan berbeza dari naskah asal yang diberikan... 😭😭😭

Pengalaman saya bertugas sebagai penolong editor sebuah majalah, telah saya manfaatkan sebaiknya di dalam setiap hasil karya cerpen atau puisi. Saya hanya pastikan karya-karya terbaik dan sifar kesalahan ejaan, tatabahasa dan tanda baca sahaja akan saya hantar untuk dinilai bagi tujuan penerbitan sejak saya melibatkan diri dengan penulisan terutama cerpen.

Alhamdulillah! Sebagai buktinya, tiada karya-karya saya disunting oleh editor majalah atau akhbar melainkan disiarkan mengikut karya asal yang diberikan. Setiapali karya terbit di media cetak, saya pasti akan membuat semakan kembali dengan karya asal yang dikirim jika ada yang disunting atas kelemahan saya sendiri. Insya-Allah! Selagi tidak mencacatkan mutu karya saya, saya menerima dengan lapang dada dan terbuka untuk memperbaiki mutu penulisan saya.

Begitu juga dengan karya-karya untuk diantologikan. Saya pastikan yang terbaik dan berpuas hati sahaja akan dihantar untuk diterbitkan. Kesilapan ejaan, tanda baca dan tatabahasa saya akan cuba jaga sebaiknya. Ini kerana saya tak suka buat sesuatu asal boleh dan sambil lewa kerana saya tahu hasilnya amat merugikan... 😢😢😢😢😢

Walau apa pun Tahniah! Kepada semua yang terlibat. Tiada kata seindah bahasa. Terima kasih sekalung budi. Nampaknya, mood saya dah spoil untuk berantologi, maka biarlah saya beristirahat ikut jejak langkah kawan-kawan hasilkan karya-karya terbaik untuk penerbitan di media cetak dan hasilkan buku persendirian pula jika ada rezeki kemudian hari. Apa guna saya terus berantologi jika sering diuji kekecewaan berpanjangan... mohon maaf pada semua.

Terima kasih...

- CT Nurza
28 Mei 2017

Thursday, May 25, 2017

TRIBUNAL CINTA (ANTOLOGI CERPEN BERSAMA)


Assalamualaikum...

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam bahagia selalu...

Syukur, Alhamdulillah! Antologi yang ditunggu-tunggu telah pun terbit. Terlebih dahulu "TAHNIAH" kepada semua ahli jemaah yang seramai 18 orang menyertai Antologi yang cukup istimewa ini bersama "Tuan Tanah Kedaunnya" AC Jaffrie & Nurimas SN.

Antologi ini menarik kerana mengetengahkan karya penukil-penukil yang berbakat besar dan hebat. Hasil kolaborasi Penulis Otai dan penulis baharu.

Di sini saya paparkan wajah-wajah para penukil aksara di dalamnya. 6 jejaka Macho, hensem, kacak bergaya telah menyambut cabaran TC dengan karya-karya yang mantop meletoppp gitu dengan di kelilingi bunga-bungaan... 😊😊😊😊


Foto 1 : Penerbit yang fokus dan berkaki lebar... opsss! Bukan... berkaliber... ya ampun pak! Waduh... 😁😁


Foto 2 : Penghulu Grup TC. Tuan Penyelenggara yang cukup beriman, tenang dan suka merajuk... merajuk sebab gambornya tak dicreated gitu... saja mendera perasaannya... ya ampunnn!! 😂😂


Foto 3 : Doktor Pakar yang paling tip-top di hospital HOSHAS, Temerloh dan paling cool serta Sporting dalam grup Wssp TC. Siapa kata doktor tak boleh berkarya walau dalam kesibukan tugas merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit?? Yang paling penting pengurusan masa membuktikan mereka mampu menceburi dua bidang dalam satu masa. Tahniah! Dr... 👍👍👍 😁😁😁


Foto 4 : Jejaka kesayangan anak-anak Semelai. Seorang guru BI yang sentiasa mendidik anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi. Beliau juga hebat dan gigih berkarya walau sering kesibukan dan kesuntukan masa. Tahniah! Cikgu IP... terus melangkah maju... 👍👍👍😁


Foto 5 : Jejaka paling pemalu tetapi seorang yang prolifik berkarya di media arus perdana dan menyertai beberapa buah Antologi-Antologi Bersama. Beliau hanya muncul sekali-sekala sahaja dalam grup TC tetapi tetap sporting dalam setiap perbincangan kami. Tahniah! Dan terus sukses Wadi...



Foto 6 : Seorang pemetik gitar handalan dan sungguh romantik. Katanya dia sedang mengejar bayang Safia. Untuk mengetahui siapa Safia yang dikejar dan diburunya, jangan lupa dapatkan antologi ini dengan secepatnya sebelum stok kehabisan.



Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan Antologi istimewa ini, anda boleh berhubung secara terus di PM fb, insta, twitter, dll dengan penukil-penukil di atas ataupun terus sahaja e-mel kepada saya di alamat e-mel ctnurza@gmail.com

Selain itu anda boleh berhubung di akaun instagram saya juga ct_nurza untuk sebarang pembelian buku ini. Terima kasih.


*Note ~ Harga buku tidak termasuk kos pengiriman. Cas untuk pos mengikut pembelian dan kos yang ditetapkan oleh pihak pos laju.

Terima kasih sekalung budi.

-CT Nurza
25 Mei 2017

Thursday, May 18, 2017

BERBALAS PANTUN (ANTOLOGI KE #34) 2017





Alhamdulillah! Mei disambut dengan 2 buah buku Antologi Bersama yang terbaharu. Antologi Berbalas Pantun dan Antologi Cerpen Tribunal Cinta yang telah pun diterbitkan.

Sebagai salah seorang penulis yang terlibat, tiada kata seindah bahasa nak diucapkan selain mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Apa pun selamat maju jaya selalu buat rakan-rakan semua. Terima kasih sekalung budi

-CT Nurza
18 Mei 2017

Tuesday, May 16, 2017

SELAMAT HARI GURU 2017



Soneta ini telah pun disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia pada tanggal 14 Mei 2017 yang lalu. Terima Kasih MM dan editor yang sudi menilai serta menerbitkan karya kecil saya di ruangan seni dan budaya. 


-CT Nurza
16 Mei 2017
3:50 AM

Monday, May 15, 2017

PUISI HARI GURU 2017 (SONETA) : GURU PERKASA



Alhamdulillah! Mei yang manis... sekali lagi karya kecil saya berjaya diterbitkan di akhbar arus perdana untuk tahun 2017 ini. Doa dan usaha yang baik hasilnya jarang sekali mengecewakan hati. Pokok pangkalnya nawaitu kita yang akan menentukan.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat setia, suami, keluarga dan kesemua insan-insan yang tulus mendoakan kejayaan saya setiap masa. Walaupun hanya kejayaan kecil secara peribadi apabila karya-karya yang dihantar berjaya diterbitkan, setidaknya ia merupakan pemangkin semangat untuk saya terus berkarya. Maju mengorak langkah jauh ke hadapan bersama impian untuk menghasilkan karya-karya bermutu. Insya-Allah!

Saya dedikasi puisi soneta ini istimewa buat semua guru-guru tak kira di mana sahaja berada terutama guru-guru yang pernah mengajar saya. Kalian semua dalam ingatan. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang sebaiknya di akhirat nanti. Amin.

Terima kasih sekalung budi

-©CT Nurza
15 Mei 2017

Sunday, May 14, 2017

Corat-Coret (v)


Assalamualaikum...

Salam ceria di pagi minggu. Didoakan semoga pembaca-pembaca setia blog NKN berada dalam situasi sihat walafiat. Hari minggu ni ramai yang buat kenduri-kendara dan sebagainya. Semoga lancar segala urusan tanpa gangguan.

Kepada yang kurang sihat, diuji dengan masalah kesihatan, semoga cepat sembuh dan pulih kembali. Memang tidak mudah untuk bertabah dengan ujian yang menimpa kita, namun jikalau kita berjaya mengawal emosi kita dan reda dengan dugaan yang menimpa, kita akan dapat menempuhinya dengan cekal. Insya-Allah. Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri. Bukan rekaan atau sekadar nak memberi nasihat kepada sesiapa.

Pengalaman diuji dengan penyakit berat hampir 19 tahun, memang membuatkan diri rasa tertekan, hampa, kecewa dan pesimis terhadap ketentuan takdir, namun saya berjaya melawan perasaan itu daripada menguasai diri. Saya dilatih oleh arwah ayah untuk sentiasa bangun malam, solat 2  rakaat mohon kepada Allah secara terus agar dipulihkan penyakit saya. Dengan izin-Nya, Alhamdulillah! Kini saya telah kembali pulih seperti sediakala, meskipun sepanjang hayat perlu patuh dengan arahan doktor untuk meneruskan rawatan berkala selepas pembedahan tetapi setidaknya saya sangat bersyukur dengan peluang kedua yang diberikan untuk meneruskan hidup dengan tenang.

Jadi, untuk mempercepatkan proses pemulihan kita, elakkan diri daripada tekanan yang berlebihan. Selalu isi masa dengan perkara berfaedah dan menggembirakan hati. Kesihatan kita hanya kita yang tahu. Hindari daripada berdampingan dengan insan-insan yang selalu membuatkan hati kita terluka, hilang semangat dan keyakinan serta membawa kita kepada sikap-sikap negatif.

Okeylah! Saya nak memasak dulu sediakan sarapan pagi. Nanti ada masa saya tulis lagi. Semoga hari ini ada berita gembira dan bahagia buat kita semua... jumpa lagi. Jaga diri hiasi peribadi dan jadilah kita ummah yang gemilang... Insya-Allah!

Terima kasih... 😘😘😘



-CT Nurza
14 Mei 2017
6:46 AM

Friday, May 12, 2017

KOLEKSI ANTOLOGI BERSAMA 2013-2017





Assalamualaikum dan selamat bersarapan pagi semua...

Alhamdulillah! Syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa, lantaran dengan rezeki ilham dan kesihatan yang baik dapat saya menyertai lebih 33 buah Antologi Bersama di dalam pelbagai genre penulisan seperti yang terdapat pada gambar ini. Sebahagian lagi Antologi yang lain masih dalam proses penerbitan.

Insya-Allah, menjelang 2020 saya cuma sasarkan untuk memiliki 200 buah Antologi Bersama selain beberapa buah buku perseorangan. Itupun jikalau usia saya sempat sampai kepada tahun 2020 sempena mencapai wawasan saya sendiri untuk memiliki perpustakaan mini yang memuatkan karya-karya sendiri dan jua karya penulis-penulis yang menginspirasikan diri saya seperti Dr. Hamka, Pendeta Za' ba, Habiburrahman, Ibnu Hazm, serta karya tokoh-tokoh islam yang saya kagumi dalam bidang keagamaan dan penulisan.

Niat yang murni ini mudah-mudahan Allah makbulkan suatu hari nanti. Impian sejak kecil akan cuba saya realisasikan semampunya seandainya hasrat saya kesampaian dan dimakbulkan Allah. Memandangkan impian saya begitu tinggi, maka saya perlu gigih berusaha dan tekun mencari ilmu untuk menghasilkan karya-karya yang mantap serta berkualiti dan ada nilai di mata masyarakat. Justeru itu saya jua perlu hasilkan karya-karya terbaik yang dapat menjadi jambatan amal untuk saya ke sana nanti. Saya tidak hanya menulis untuk dunia tetapi juga untuk saham akhirat.

Kepada yang sudi menatap dan membaca hasil karya saya, terima kasih sekalung budi. Untuk mendapatkan buku-buku saya jua, anda boleh sahaja menghubungi saya di alamat e-mel ctnurza@gmail. com

Insya-Allah! Jika masih ada stok akan saya maklumkan menerusi e-mel. Jangan lupa doakan kejayaan saya dalam bidang penulisan ini ya... andai saya berjaya itulah berkat doa kalian yang Allah makbulkan. Insya-Allah! Mudah-mudahan doa yang baik itu akan kembali kepada diri anda semula. Begitulah yang sering saya lihat dan alami selepas saya mendoakan kejayaan orang lain seikhlasnya. Saya sangat-sangat yakin pada janji Allah! Maka itu pergantungan hidup saya diserahkan sepenuhnya kepada Allah untuk mengatur dan menentukan segala-galanya.

Sebenarnya penglibatan saya dalam dunia perbukuan ini berlaku secara tidak diduga apabila salah sebuah puisi yang sekadar saya nukilkan untuk pembaca-pembaca setia blog NKN, tiba-tiba dilamar oleh penerbit yang hebat untuk dibukukan. Seakan tidak percaya apabila membaca mesej yang ditinggalkan memohon keizinan saya untuk membukukannya.

Dengan penuh tulus saya izinkan tanpa berfikir panjang demi membantu insan-insan yang malang. Selepas buku tersebut terbit dan dilancarkan di Pentas Utama PWTC, beberapa bulan selepasnya rezeki untuk menghasilkan buku datang mencurah-curah tanpa disangka. Saya terpaksa membuat pilihan mengikut kemampuan dan keupayaan minda saya untuk berkarya. Alhamdulillah! Berkat usaha dan ketekunan, inilah hasilnya yang telah saya paparkan di atas.

Impian saya semoga 2017 ini akan terbit lagi 10 buah antologi terbaharu yang sedang disertai. Saya tidak kisah apa tanggapan orang terhadap saya kerana hanya mampu berantologi. Setidaknya saya mempunyai inisiatif yang tinggi untuk belajar daripada bawah dengan membuang segala ego yang menggunung dalam diri. Meskipun buku-buku saya jarang dijual tetapi setidaknya buku-buku itulah yang menjadi harta berharga buat saya suatu hari nanti. Saya tidak ada anak cucu, cukuplah buku-buku itu menjadi harta jariah saya kelak untuk ditinggalkan kepada yang memerlukan. Insya-Allah!

Akhir kata, salam bahagia dan selamat maju jaya selalu kepada semua insan-insan budiman yang sering mengikuti perkembangan di blog saya. Kalian amat kuhargai... 😘😘😘

Terima kasih dari hati...

-CT Nurza
12 Mei 2017
8:53 AM

Thursday, May 11, 2017

SALAM NISFU SYA' BAN 1438 H


Assalamualaikum...

Selamat malam dan salam Nisfu Sya'ban 1438 H. Dengan rendah hati, pada malam yang penuh keberkatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mohon ampun dan maaf dari semua yang mengenali diri saya tak kira di mana, andai ada salah silap dan dosa saya pada kalian semua ampun dan maaf dipinta. Saya insan biasa yang sentiasa berbuat dosa dan khilaf. Biarlah kehadiran Sya'ban ini menjernihkan minda dan hati saya untuk sentiasa bertaubat dan membersihkan diri daripada segala dosa besar atau dosa kecil yang tidak disedari. Salam kemaafan.

Saya juga memaafkan insan-insan yang sering menyakiti dan mencetuskan masalah dalam hidup saya selama ini KECUALI yang banyak berhutang dengan saya tak bayar-bayar... hutang tetap hutang ya. Hutang wajib dibayar kerana ia dalam jumlah yang banyak... berbanding dengan derma dan sedekah yang tiada paksaan dan perjanjian untuk diberi. Apa pun terpulanglah kepada anda. Jangan sampai roh kita tergantung sesudah mati kerana banyak hutang yang tidak dilangsaikan dan menganiaya orang lain. Na'uzubillah Hi Min Zaliq!

Malam ni, mari kita semua perbanyakkan doa dan solat taubat. Semoga buku amalan kita kelak dihulurkan dengan senyuman di hadapan Rabbul Jalil. Mahkamah Allah SWT mahkamah yang paling agung dan telus. Segalanya tercatat dalam buku amalan kita tanpa bias dan khilaf. Hukuman dijatuhkan setimpal atas perbuatan kita. Jadi, jom perbaiki amal perbuatan kita selagi hayat masih bersisa. Mati tidak mengira usia jua tidak ditentukan oleh sakit atau sihat. Bersedialah untuk kita pergi bila-bila masa dengan amalan yang diberkati dan diredai.

Tidak perlu kita pergi ke Mekah berpuluh kali jika haji kita hanya di mata manusia bukan haji yang mabrur di sisi Allah! Buktinya dapat kita lihat sebelum pergi haji dan selepas pergi haji, bagaimana sikap kita yang terserlah?? Adakah perkataan atau perbuatan kita semakin terjaga ataupun semakin teruk. Semuanya kita dapat lihat sendiri ia membawa perubahan baik atau sebaliknya. Bergantung kepada nawaitu kita menjadi tetamunya untuk apa... semoga Allah ampunkan dosa kita yang kadang-kadang riak dan ujub beribadah. Astaghfirullah Hal Aziim... moga-moga Allah melindungi kita dari segala sifat takbur dan ujub tanpa sedar. Insya-Allah!

Akhir kata selamat malam dan selamat memperbaiki diri masing-masing. Semoga kita dilimpahi keberkatan hidup dunia dan akhirat. Amin.


-©CT Nurza
15 Sya'ban 1438 H
10:01 PM

*kredit foto grafik : sumber g+

PROJEK BERBALAS PANTUN (ANTOLOGI 2017)




Dah lama tak berpantun di sini. Hari ini kemas-kemas galeri dan buang yang tidak perlu, terjumpa semula hasil kreativiti beberapa bulan yang lalu. Pantun ini hanya terpilih untuk dibukukan kerana pencapaian cuma 4🌠🌠🌠🌠 sahaja. Namun beberapa buah pantun yang lain masih ada yang berjaya mencapai tahap penilaian 5🌠🌠🌠🌠🌠.

Walau apa pun, bagi saya layak untuk dibukukan pun sudah memadai. Syukur seribu rahmat kerana tidak sia-sia berfikir dan menulis untuk menciptanya guna akal fikiran sendiri. Lagipun berpantun ini budaya Melayu. Jika tidak kita yang mempusakai warisan bangsa siapa lagi. Belajar sahaja selagi kita mampu supaya banyak perkara dapat kita pelajari demi menambah ilmu penulisan. Selama ini saya cuma tahu menulis pantun satu atau dua rima sahaja. Bila belajar pantun 4 rima begini lagi mencabar minda saya untuk berkarya.

Saya kuatkan semangat untuk belajar dan anggap setiap yang bermula dengan sukar itu, akan berakhir dengan seribu satu rahmat dari Allah kerana terus berjuang mencari ilmu. Pantun satu atau dua rima itu, pantun yang tersangat biasa bagi saya. Tetapi pantun 4 rima satu cabaran yang menguji daya fikir kita dalam mencari diksi, sampiran yang kukuh dan maksud yang menepati. Tak semudah mencipta pantun satu atau dua rima.

Untuk belajar, hati kena cekal menerima teguran demi memperbaiki kelemahan. Jika anda seorang yang lemah daya fikir, daya juang dan tidak boleh ditegur atau tunjuk ajar maka  anda tak akan mampu bertahan dan fokus dengan tugasan yang diberi. Untuk belajar menjadi pandai ketepikan ego yang tinggi, rendahkan hati menerima kritikan dan teguran.

Bukan pujian menggunung yang membuatkan kita tidak jejak ke tanah dan akhirnya merugikan diri sendiri apabila sudah berasa hebat dan tidak boleh ditegur apa jua kelemahan kita. Saya bersyukur kerana yang menegur dan membimbing saya serta kawan-kawan seorang yang cukup tenang dan berhemah. Tidak banyak cakap tetapi lebih banyak membuktikan dan cukup profesional menyelaraskan karya-karya kami yang diterbitkan.
Alhamdulillah! Syukur...

Justeru, kepada yang suka belajar... begurulah kepada siapa pun kerana banyak guru, banyak ilmu kita perolehi. Setiap guru memiliki pengetahuan yang berbeza. Kita yang memilih kita ambil mana yang terbaik. Pokok pangkalnya penerimaan dan atitude kita terhadap orang lain. Buka minda, buka hati dan lapangkan fikiran untuk belajar dan mencari ilmu. Insya-Allah! Akan diberi kefahaman yang baik jika hati kita bersih dan berfikiran positif.

Salam kejayaan buat semua!

©CT Nurza
11 Mei 2017

Wednesday, May 10, 2017

Corat-Coret (iv)


Selamat malam semua...

Assalamualaikum...

Minggu ni banyak sekali berita-berita duka dalam kalangan rakan-rakan terdekat yang saya baca. Sebak dan simpati tak dapat digambarkan. Doa saya semoga mereka semua yang diuji dengan berita kehilangan sentiasa kuat dan tabah menempuh hidup.

Ujian yang berat hanya untuk orang yang hebat. Tidak semua insan Allah berikan ujian berbentuk musibah selain mereka yang terpilih untuk dekat dengan-Nya. Meskipun berat untuk menerima kenyataan, tetapi itulah yang perlu kita tempuh jua seadanya. Al-Fatihah untuk yang telah pergi...



-CT Nurza
10 Mei 2017
11:56 PM

Corat-Coret (iii)


Syukur! Tidak disangka 5 bulan pertama tahun 2017 ni hampir 80 peratus azam dan impian saya berjaya dicapai dan disempurnakan oleh-Nya. Hanya sebahagian lagi yang berbaki itu semoga Allah permudahkan dan merestuinya nanti.

Banyak manfaat yang saya kutip apabila banyak bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada di dalam diam. Diam mencari dan menambah ilmu dalam bidang yang saya minati, dan diam ini betul-betul memberi kesan dan perubahan kepada diri. 

Sebagai insan biasa, saya juga mempunyai banyak kekurangan diri. Kadang-kadang saya amat malu didampingi insan-insan hebat di sekeliling saya, yang mana saya melihat mereka cukup sempurna dan tidak ada kekurangan di mata saya. Namun demikian, dalam seribu satu liku ujian yang saya hadapi, saya tetap terpujuk dan bangga dengan keindahan budi pekerti mereka dalam mendekati dan menyantuni saya sebagai rakan dan sahabat.

Walaupun di dalam setandan pisang itu tetap jua ada yang busuk dan buruk, tetapi itu hanya satu dua sahaja. Barangkali Allah sengaja hadirkan mereka dalam lingkungan diri saya hikmahnya ialah untuk membuka minda dan mentarbiah diri saya agar menilai mana yang baik, atau mana yang sebaliknya untuk dijadikan, rakan, sahabat dan teman yang setia.

Saya sentiasa menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup saya sebagai rakan, sahabat atau kenalan asal saja mereka sudi menerima diri saya seperti seadanya. Bukan kerana sebab-sebab tertentu dan ada kepentingan diri maka saya dirapati. Ikhlas itu tunjang persahabatan yang murni dan bertahan lama. 

Saya akui semenjak kebelakangan ini saya agak sibuk mengisi masa luang saya dengan aktiviti-aktiviti penulisan, maka saya tidak banyak masa untuk dihabiskan dengan hal yang sia-sia jika tidak ada manfaat dan membangunkan minda saya. Jadi saya lebih gemar menyendiri dan terus fokus menjayakan minat saya. INSYA-ALLAH... 

           Tidak mudah untuk berjaya tanpa usaha dan kemahuan untuk belajar berterusan sehingga kita benar-benar mahir dalam bidang kita. Kuasai apa yang kita minat agar setiap hasilnya benar-benar sempurna. Kualiti perlu dipertingkatkan agar kecemerlangan dapat di banggakan berkat usaha dan kesungguhan yang ada. 

Selamat berusaha dan berjaya semua! Salam hormat selalu.

Terima kasih.

-CT Nurza
10 Mei 2017

Corat-Coret Pagi (ii)


Selamat pagi dan Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Jom pagi-pagi ni kita sedekahkan Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas untuk kedua-dua ayahanda dan bonda kita, untuk guru-guru yang memberi ilmu kepada kita, untuk semua para pejuang yang menjaga keamanan negara, untuk doktor-doktor yang merawat kita, untuk suami atau isteri, untuk keluarga, sanak saudara dan semua saudara seagama kita. Tak lupa Selawat dan salam juga istimewa buat junjungan kita Rasulullah s.a.w.

Kita saling mendoakan kebaikan sesama kita, Insya-Allah! Doa itu pasti akan berbalik kepada diri kita semula. Ramadan dah hampir menjelma, banyak dosa kita sesama insan kerana lidah. Kadang-kadang kita cuba semampunya bersabar, menahan perbuatan dan perkataan kita, namun bila ada yang sengaja mencari masalah dengan kita, sesabar mana pun bertahan kita tidak mampu diamkan juga apabila dicabar. Perlu bersuara untuk pertahankan maruah dan diri kita agar tidak dihenyak sesukanya. Diam biar bertempat, bercakap bila perlu.

Kadang-kadang kita takusik kehidupan sesiapa tetapi tetap ada yang sakit hati dan takpuas hati dengan kita. Ini semua gara-gara PHD yang terlampau tinggi apabila Allah beri sedikit rezeki dan kelebihan itu kepada diri kita. Nikmat itu apabila jatuh ke tangan kita pasti ada yang iri dan dengki, namun apabila nikmat rezeki itu jatuh ke tangan mereka, kita dengan senang hati dan lapang dada menerima serta tumpang gembira atas kejayaan atau apa saja yang mereka capai. Insya-Allah!

Sentiasa saya lihat dan perhatikan, orang yang sukar berjaya ini kebanyakannya, mereka suka mempertikaikan rezeki orang lain berbanding dengan meningkatkan usaha untuk memajukan diri sendiri, Apabila orang lain berjaya, mereka sakit hati, umpat keji fitnah itu ini. Tujuannya supaya orang lain benci dan jauhkan diri dari orang yang dimusuhinya itu kerana berjaya lebih dari dirinya. Orang begini sering rasa tercabar dan takut kepada bayang-bayang sendiri. Bagi si bodoh, mereka akan terus percaya tanpa usul periksa. Maka yang takbersalah dan takada kena mengena dengan dirinya, turut menjadi musuhnya juga tanpa sedar. Kesian!!

Jadinya, kepada yang sering mengalami masalah emosi kerana serangan mangsa PHD, ayuh kita terus gigih usaha memperbaiki diri di samping meningkatkan kematangan kita dalam berfikir dan bertindak. Jangan sia-siakan hidup kita menjadi insan yang rugi dan kaya PHD (Perasaan Hasad Dengki). Kaya PHD tidak akan sampai ke mana. Semoga kita bukan manusia yang kaya PHD. Dari riak wajah dan air muka pun orang boleh baca apa ada dalam hati kita, kerana setiap insan ada suara hati masing-masing. Jangan lupa tu...

Akhir kata ampun maaf dipinta jika terlancang kata dan jumpa lagi. Salam subuh!

-CT Nurza
10 Mei 2017
6:00 AM

Monday, May 8, 2017

CORETAN PAGI


Semoga semua dalam rahmat dan lindungan Allah SWT setiap masa. Mei ini merupakan bulan yang penuh warna-warni dengan berbagai macam sambutan diadakan di serata tempat. Jadi kepada semua yang terlibat dengan acara-acara sambutan yang diadakan... jaga diri, jaga kesihatan, jaga penampilan dan juga jaga sikap agar tidak keterlaluan. Kekalkan budaya ketimuran. Tak perlu berlebih-lebihan.

Bagi gadis dan kaum wanita, jagalah tingkah laku anda kalaupun anda perlu mendapatkan perhatian untuk mengisi kesunyian. Kita ini wanita timur adab pergaulan tetap perlu dijaga dan ada batasan. Usah cemarkan apa pun status anda dengan sikap dan perbuatan yang kurang sopan. Secantik apa penampilan dan wajah anda tetapi merosakkan rumah tangga dan kehidupan insan lain tidak ada maknanya. Hilang hormat hilang kepercayaan. Tak perlu over acting

Kadang-kadang saya rasa malu apabila melihat kaum sejenis yang terlampau bajet hebat sangat ni menghadiri majlis-majlis tertentu. Langsung takde segan silu nak bergambar dengan suami orang yang dibuat macam suami sendiri... aduiii makkk! Itulah sebabnya saya ni takut nak bergambar sebab selalu fikir perasaan orang lain seperti saya.

Ada suami dan isteri, sama-samalah kita menjaga hati dan perasaan mereka. Yang tak bersuami tu biaq pi depalah... exicited sangat jumpa orang itu ini loklak bergambar sakan... orang pun duk perati jugak nak ambik buat bini... murah sangat pun lelaki takut... tak kuasa heh nak tegur!

Apa pun yang kita buat... pentingkan perasaan orang lain juga. Jangan pentingkan diri sendiri saja. Zaman sekarang ni terlampau banyak kawan makan kawan... baik depan tak semestinya baik di belakang. Bila terkena batang idung sendiri, baru kita tau siapa kawan siapa lawan! Kita tak musuhi orang, orang duk musuhi kita. Entah apa entah perangai semacam. Apa pun bertahanlah menjadi diri kita sendiri. Tak hidup dek puji, tak mati dek keji...

Selamat berubah dan bermuhasabah!

-CT Nurza
08 Mei 2017


Saturday, May 6, 2017

SAJAK : CIPLAK



Tidakku tahu...
hujung pangkal cerita
mengapa perlu
untuk terjun bersama
meniup marak
ungun-unggun sengketa
antara mereka yang jelas nyata
mengikut emosi semata-mata
berbalah sesama.

Aku bukanlah si batu api
mahu melihat rakan berbalah
isu menciplak bagiku lumrah
apabila perbuatan tak ingat Allah
peritnya terpaksa bertabah
andai hak kita dirompak.

Biarkan si luncai
terjun dengan labunya
lantaran sikap tak tahu malu
memang jelas tiada maruah
mencuri khazanah orang
mengakui hartanya.

Nukilan Spontan,
©CT Nurza
10 April 2017
04:13PM

*Sedekahkan Al-Fatihah kepada kaki ciplak semoga Allah beri kesedaran kepada dirinya dan diri kita jua. Kita pun bukan bagus sangat nak tunjuk hebat hentam orang walaupun nyata mereka bersalah. Zaman sekarang sekelip mata Allah bayar tunai. Takutlah dengan kezaliman diri sendiri. Hak orang jangan diambil sewenang-wenangnya tanpa izin.

*Kredit Grafik : Foto sumber g+


TIP MENULIS CERPEN YANG MENARIK HATI EDITOR



Panduan penulisan cerpen untuk bakal-bakal cerpenis.

*Jangan terkeluar daripada tema yang telah ditetapkan.
*Pastikan nama-nama watak adalah tepat serta tidak bercelaru (Sering saya temui watak yang bertukar apabila menjadi editor bidan terjun untuk membantu penerbit menyunting karya).
*Tulis ikut format penulisan yang betul.
*Buat pemerengganan yang kemas dan sempurna. Tidak terlalu panjang atau tidak terlalu pendek setiap paragraf.
*Kurangkan kesilapan ejaan. Sila rujuk kamus DBP online atau kamus DBP biasa edisi keempat.
*Elakkan daripada menggunakan perkataan yang sama dalam satu baris dan juga penggunaan ayat yang berulang-ulang.
*gunakan ayat yang pendek-pendek. Tidak terlalu panjang dalam naratif dan dialog.
*Tajuk, nama penulis dan lokasi pastikan ditulis dengan betul.
*Pastikan tanda baca dan juga tatabahasanya betul.
*Setiap perkataan perlu dijarakkan. Jangan terlalu rapat sehingga menyukarkan untuk membaca dan menyunting.
*Taip dengan kemas kerana karya itu melambangkan peribadi anda.
*Kata nama khas dan kata nama am pastikan guna huruf besar dan kecil yang betul.
*Berhati-hati menggunakan "Elipsis". Jangan berlebihan.
*Semak karya berulangkali sebelum dihantar ke meja editor. Hantarkan karya yang paling terbaik dan berpuas hati.Tidak perlu ditokok tambah lagi selepasnya.
*Condongkan perkataan BI dan  perkataan asing jika menggunakan bahasa asing serta buatkan glosari untuk perkataan yang jarang digunakan.
*Pikat editor dengan naratif yang menarik dan tinggi nilai seni apabila mengirim cerpen yang mempunyai ilustrasi seperti di majalah. Gambarkan sebuah keindahan naratif yang boleh diterjemahkan nilai seninya oleh pelukis ilustrasi selepas membaca cerpen anda. Ini antara sebab kenapa cerpen anda menjadi pilihan editor ataupun penerbit untuk cepat atau lambat disiarkan.
*Pastikan cerpen yang dihantar juga mempunyai fakta yang tepat dan isi yang menarik serta memberi kesan kepada pembaca.
*Sentiasa belajar daripada kesilapan, teguran dan kritikan. *Jadikan kritikan negatif itu sesuatu yang positif untuk membuktikan kita mampu perbaiki kelemahan diri lantaran kedangkalan ilmu yang kita miliki akibat suka menunggu dan tidak suka mencari serta kurang berusaha.
*Belajar dan terus belajar. Sertai mana-mana bengkel penulisan yang diyakini. Pastikan pembimbingnya benar-benar mahir dan berpengalaman agar pelaburan anda membayar mahal tidak rugi dan sia-sia serta berbaloi.

Sekian, selamat berkarya!

*Jangan lupa dapatkan Majalah WANITA Utusan Karya terbitan bulan April 2017 untuk membaca Cerpen nukilan saya yang disiarkan.

Terima kasih! 😘😘😘

-©CT Nurza
04 Februari 2017

Friday, May 5, 2017

CPUV NUFFNANG (MEI 2017)


Terima kasih sekalung budi kepada nuffnang Malaysia kerana masih setia memilih blog kecil saya untuk mendapat hadiah CPUV istimewa dari Penaja & Pengiklan.

Insya-Allah! Demi menghargai perhatiannya, akan saya cuba untuk sentiasa menghasilkan entry-entry terbaik di sini.

Hormat selalu...

-CT Nurza
05 April 2017


ANTOLOGI CERPEN TRIBUNAL CINTA 2017


Antologi Bersama (Cerpen) terbaharu saya bersama 18 orang penukil yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penulisan. Antara penukil lama dan baharu, kami bergabung dalam satu suara dan persefahaman yang baik. Lantas inilah buktinya sebuah Antologi yang sederhana namun cukup bermakna bagi setiap penukil yang terlibat.

Cerpen-cerpen yang termuat di dalam antologi ini adalah cerpen-cerpen yang terbaik dan diulas oleh kaunselor. Jangan lupa untuk mendapatkan antologi ini secara terus daripada kami. Ada banyak kisah yang menarik telah dipaparkan untuk tatapan umum. Tungguuu!!!🌹🌹🌹🌹🌹

untuk tempahan boleh hubungi saya di alamat e-mel ctnurza@gmail.com Insya-Allah! Akan dijawab segala pertanyaan menerusi e-mel.

Terima kasih. Salam hormat buat semua.

-CT Nurza
05 April 2017
2:06 AM

KREATIVITI SANTAI





BIODATA PENGKARYA 2017


ANTOLOGI BERSAMA (2013-2017)

2013 - Antologi Penulis-Penulis Pahang "Kampung Pagi" - Sajak (MTNP).
2015 - Antologi Dwi-Bahasa 'The Eternal Storm' - Sajak (E-Magineers (M) Sdn. Bhd & ITBM).
2015 - Antologi Komplot Menulis - Cerpen (GMM).
2015 - Antologi Bilang Adik Bilang, Buai Laju-Laju - Puisi Kanak-Kanak (DPMP)
2016 - Antologi Semandarasa Pantun Melayu - Pantun (SPTA).
2016 - Antologi Mahabbah Bahasa - Sajak (BeTA, IBH).
2016 - Antologi Ombak Biru Semenanjung - Puisi (Genre) Sonian (KKK, Jakarta)
2016 - Antologi Untukmu Ibu - Sajak & Cerpen ( Pena Padu)
2016 - Antologi Projek Sonian Malaysia - Puisi (Genre) Sonian (SPTA)
2016 - Antologi Aidilfitri Sajak-Sajak Kenangan - Sajak (SPTA)
2016 - Antologi Nota Untuk Ayah - Sajak & Cerpen (Pena Padu)
2016 - Antologi Bicara Langit Kepada Awan - Sajak ( BeTA, IBH)
2016 - Antologi C2N RAJAQNA - Cerpen (BeTA, IBH)
2016 - Antologi Semangat Hijrah Jiwa Merdeka - Sajak (BeTA, IBH)
2016 - Antologi Alegori (Projek Soneta Melayu) - Puisi (Genre) Soneta (SPTA)
2016 - Projek Haiku Sayembara - Puisi (Genre) Haiku (SPTA)
2016 - Antologi Sajak Bagan Datoh (Bandar Di Tepi Muara) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Tanjong Malim (Bandar Muallim) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak (Ipoh Bandar Raya Gunung) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Kuala Kangsar (Bandar Diraja) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Gerik ( Bandar Di Tepi Hutan) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Tapah (Bandar Di Pinggir Sungai)  - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Kampar (Bandar Di Sisi Banjaran) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Parit Buntar ( Bandar Jelapang Padi) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Batu Gajah (Pekan Bijih Timah) - Sajak ( Karyawan PK)
2016 - Antologi Parit (Pekan Di Tengah Perak) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Pangkor (Pekan Di Selat Dinding) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Selama (Pekan Di Tepi Sempadan) - Sajak (Karyawan PK)
2016 - Antologi Sajak Sungai Siput (Pekan Di Sudut Bukit) - Sajak (Karyawan PK)
2017 - Antologi Pertiwi Kersani - Sajak (Pena Padu)
2017 - Antologi Projek Haiku Pelangi (SPTA)
2017 - Antologi "REGIS" Haiku Haibun Dwi-Bahasa - Haibun Melayu (SPTA)
2017 - Antologi Cerpen & Sajak Tribunal Cinta - Cerpen (Pena Padu)

KARYA ECERAN: 2016-2017

2016 - Pepohon Budi (Sajak) - BULETIN DPMP (Oktober)
2017 - Segulung Takdir Seorang Wanita (Cerpen) - Majalah WANITA (April)
2017 - Banchulabhorn Pattana (Sajak Kembara Budaya) - Akhbar Buletin Rakyat (15 April)
2017 - Fitnah Cyber (Puisi Genre Soneta) - Akhbar Sinar Harian (30 Apr)

Thursday, May 4, 2017

ULASAN NOVEL GENRE THRILLER "FOBIA" 2017


Judul Novel  : Fobia
Penerbit : Buku Prima, Karangkraf.
Penulis  : Siti Rozilah
Bilangan Muka Surat  : 375
Genre     : Thriller
Harga.    : RM28.00 (Sem. Malaysia) / RM31.00 (Sabah/Srwk)
Pengulas  : CT Nurza

Novel ini mengandungi 67 bab yang diolah dengan begitu menarik dan bersahaja. Ia mengisahkan tentang seorang usahawan berjaya bernama Hidayat yang mempunyai gedung pakaian dan fesyen terbesar bertaraf jutawan. Namun demikian, pada masa yang sama usahawan muda ini menghidapi tekanan mental yang serius sehingga terpaksa dirawat oleh seorang doktor pakar psikiatri wanita bernama Doktor Humaira.

Doktor Humaira telah pun bertunang dengan Kapten Zakri atas pilihan keluarga. Akan tetapi hatinya mula terpaut kepada Hidayat, salah seorang pesakitnya tanpa disedari. Ini disebabkan Doktor Humaira berasa amat terhutang budi kepada Hidayat kerana telah menyelamatkan dirinya di sebuah banglo, ketika mendapat satu panggilan kecemasan  daripada seorang wanita, iaitu isteri kepada seorang pesakit mental lain yang  bernama Zulfakar.

Paling menarik lagi, di dalam diri Hidayat ada Luth. Di dalam diri Luth ada pula Hakeem. Penulis berjaya membuai emosi pembaca dengan garapan yang begitu hebat. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, sila dapatkan novel ini.

Antara watak yang paling saya minat di dalam novel ini ialah watak Kapten Zakri Ameen iaitu tunang kepada Doktor Humaira yang sangat tenang dan memahami. Ideal!

Terima kasih.

U/P : Siti Rozilah Novelis

*Antara 3 Pemenang Terbaik Pertandingan Mengulas Novel " Fobia".

*Kepada yang berminat jangan lupa dapatkan novel ini daripada penulisnya Kak Siti Rozilah.


ANTOLOGI HAIBUN DWI-BAHASA "REGIS"


Antologi terbaharu yang telah terbit. Antologi Haibun Melayu berjudul "REGIS" telah pun berjaya diterbitkan pada penghujung April lepas. Antologi bersama ini disertai oleh 14 orang penulis dengan berbagai latar belakang. Ini merupakan karya kedua saya yang diterjemahkan kepada dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Terima kasih SPTA selaku penerbit.

-CT Nurza
04 Mei 2017
5:00 AM