ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, May 10, 2017

Corat-Coret (iii)


Syukur! Tidak disangka 5 bulan pertama tahun 2017 ni hampir 80 peratus azam dan impian saya berjaya dicapai dan disempurnakan oleh-Nya. Hanya sebahagian lagi yang berbaki itu semoga Allah permudahkan dan merestuinya nanti.

Banyak manfaat yang saya kutip apabila banyak bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada di dalam diam. Diam mencari dan menambah ilmu dalam bidang yang saya minati, dan diam ini betul-betul memberi kesan dan perubahan kepada diri. 

Sebagai insan biasa, saya juga mempunyai banyak kekurangan diri. Kadang-kadang saya amat malu didampingi insan-insan hebat di sekeliling saya, yang mana saya melihat mereka cukup sempurna dan tidak ada kekurangan di mata saya. Namun demikian, dalam seribu satu liku ujian yang saya hadapi, saya tetap terpujuk dan bangga dengan keindahan budi pekerti mereka dalam mendekati dan menyantuni saya sebagai rakan dan sahabat.

Walaupun di dalam setandan pisang itu tetap jua ada yang busuk dan buruk, tetapi itu hanya satu dua sahaja. Barangkali Allah sengaja hadirkan mereka dalam lingkungan diri saya hikmahnya ialah untuk membuka minda dan mentarbiah diri saya agar menilai mana yang baik, atau mana yang sebaliknya untuk dijadikan, rakan, sahabat dan teman yang setia.

Saya sentiasa menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup saya sebagai rakan, sahabat atau kenalan asal saja mereka sudi menerima diri saya seperti seadanya. Bukan kerana sebab-sebab tertentu dan ada kepentingan diri maka saya dirapati. Ikhlas itu tunjang persahabatan yang murni dan bertahan lama. 

Saya akui semenjak kebelakangan ini saya agak sibuk mengisi masa luang saya dengan aktiviti-aktiviti penulisan, maka saya tidak banyak masa untuk dihabiskan dengan hal yang sia-sia jika tidak ada manfaat dan membangunkan minda saya. Jadi saya lebih gemar menyendiri dan terus fokus menjayakan minat saya. INSYA-ALLAH... 

           Tidak mudah untuk berjaya tanpa usaha dan kemahuan untuk belajar berterusan sehingga kita benar-benar mahir dalam bidang kita. Kuasai apa yang kita minat agar setiap hasilnya benar-benar sempurna. Kualiti perlu dipertingkatkan agar kecemerlangan dapat di banggakan berkat usaha dan kesungguhan yang ada. 

Selamat berusaha dan berjaya semua! Salam hormat selalu.

Terima kasih.

-CT Nurza
10 Mei 2017

No comments: