ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, May 12, 2017

KOLEKSI ANTOLOGI BERSAMA 2013-2017





Assalamualaikum dan selamat bersarapan pagi semua...

Alhamdulillah! Syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa, lantaran dengan rezeki ilham dan kesihatan yang baik dapat saya menyertai lebih 33 buah Antologi Bersama di dalam pelbagai genre penulisan seperti yang terdapat pada gambar ini. Sebahagian lagi Antologi yang lain masih dalam proses penerbitan.

Insya-Allah, menjelang 2020 saya cuma sasarkan untuk memiliki 200 buah Antologi Bersama selain beberapa buah buku perseorangan. Itupun jikalau usia saya sempat sampai kepada tahun 2020 sempena mencapai wawasan saya sendiri untuk memiliki perpustakaan mini yang memuatkan karya-karya sendiri dan jua karya penulis-penulis yang menginspirasikan diri saya seperti Dr. Hamka, Pendeta Za' ba, Habiburrahman, Ibnu Hazm, serta karya tokoh-tokoh islam yang saya kagumi dalam bidang keagamaan dan penulisan.

Niat yang murni ini mudah-mudahan Allah makbulkan suatu hari nanti. Impian sejak kecil akan cuba saya realisasikan semampunya seandainya hasrat saya kesampaian dan dimakbulkan Allah. Memandangkan impian saya begitu tinggi, maka saya perlu gigih berusaha dan tekun mencari ilmu untuk menghasilkan karya-karya yang mantap serta berkualiti dan ada nilai di mata masyarakat. Justeru itu saya jua perlu hasilkan karya-karya terbaik yang dapat menjadi jambatan amal untuk saya ke sana nanti. Saya tidak hanya menulis untuk dunia tetapi juga untuk saham akhirat.

Kepada yang sudi menatap dan membaca hasil karya saya, terima kasih sekalung budi. Untuk mendapatkan buku-buku saya jua, anda boleh sahaja menghubungi saya di alamat e-mel ctnurza@gmail. com

Insya-Allah! Jika masih ada stok akan saya maklumkan menerusi e-mel. Jangan lupa doakan kejayaan saya dalam bidang penulisan ini ya... andai saya berjaya itulah berkat doa kalian yang Allah makbulkan. Insya-Allah! Mudah-mudahan doa yang baik itu akan kembali kepada diri anda semula. Begitulah yang sering saya lihat dan alami selepas saya mendoakan kejayaan orang lain seikhlasnya. Saya sangat-sangat yakin pada janji Allah! Maka itu pergantungan hidup saya diserahkan sepenuhnya kepada Allah untuk mengatur dan menentukan segala-galanya.

Sebenarnya penglibatan saya dalam dunia perbukuan ini berlaku secara tidak diduga apabila salah sebuah puisi yang sekadar saya nukilkan untuk pembaca-pembaca setia blog NKN, tiba-tiba dilamar oleh penerbit yang hebat untuk dibukukan. Seakan tidak percaya apabila membaca mesej yang ditinggalkan memohon keizinan saya untuk membukukannya.

Dengan penuh tulus saya izinkan tanpa berfikir panjang demi membantu insan-insan yang malang. Selepas buku tersebut terbit dan dilancarkan di Pentas Utama PWTC, beberapa bulan selepasnya rezeki untuk menghasilkan buku datang mencurah-curah tanpa disangka. Saya terpaksa membuat pilihan mengikut kemampuan dan keupayaan minda saya untuk berkarya. Alhamdulillah! Berkat usaha dan ketekunan, inilah hasilnya yang telah saya paparkan di atas.

Impian saya semoga 2017 ini akan terbit lagi 10 buah antologi terbaharu yang sedang disertai. Saya tidak kisah apa tanggapan orang terhadap saya kerana hanya mampu berantologi. Setidaknya saya mempunyai inisiatif yang tinggi untuk belajar daripada bawah dengan membuang segala ego yang menggunung dalam diri. Meskipun buku-buku saya jarang dijual tetapi setidaknya buku-buku itulah yang menjadi harta berharga buat saya suatu hari nanti. Saya tidak ada anak cucu, cukuplah buku-buku itu menjadi harta jariah saya kelak untuk ditinggalkan kepada yang memerlukan. Insya-Allah!

Akhir kata, salam bahagia dan selamat maju jaya selalu kepada semua insan-insan budiman yang sering mengikuti perkembangan di blog saya. Kalian amat kuhargai... 😘😘😘

Terima kasih dari hati...

-CT Nurza
12 Mei 2017
8:53 AM

No comments: